TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemantauan kumpulan ekstremis perlu demi keselamatan negara – Ayob Khan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Jan – Pemantauan berterusan terhadap kumpulan ekstremis atau militan yang mengeksploitasikan agama bagi menjustifikasikan tindakan operasi bunuh diri perlu dilaksanakan demi menjamin keselamatan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan serta melancarkan operasi besar-besaran terhadap kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) sejak Disember 2001 telah berjaya menggagalkan perancangan keganasan kumpulan itu di Malaysia.

Menurut beliau, tindakan JI melancarkan serangan berani mati di Indonesia serta merancang serangan di Malaysia jelas menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan negara.

“Selain itu, kumpulan ini berhasrat menggulingkan kerajaan Malaysia yang dianggap ‘kufur’ melalui jihad ‘qital’ atau jihad perang, yang jelas bertentangan dengan nilai teras negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen serta memberi ruang kepada rakyat membentuk kerajaan melalui pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pemantauan rapi terhadap kumpulan ekstremis atau militan yang mempergunakan agama bagi menghalalkan tindakan bunuh diri amat diperlukan.

Ayob berkata, sebarang fahaman atau ideologi yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dibanteras sepenuhnya.

Menurutnya, operasi Cawangan Khas pada Disember 2001 turut berjaya mengenal pasti struktur organisasi JI di peringkat serantau yang memperjuangkan penubuhan sebuah kerajaan Islam ‘Daulah Islamiah’ meliputi Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Filipina dan Australia.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, JI menghalalkan tindakan keganasan termasuk serangan bunuh diri untuk menggulingkan kerajaan di Asia Tenggara, termasuk Malaysia yang dianggap sekular dan tidak Islamik,” katanya.

Beliau berkata, komitmen anggota JI dalam melancarkan serangan berani mati terbukti menerusi beberapa siri serangan di Indonesia termasuk di Bali pada Oktober 2002, Hotel JW Marriott Jakarta (2003), Kedutaan Australia di Jakarta (2004), Bali II (2005), serangan gereja di Surabaya pada 2018 serta beberapa serangan lain selepas itu.

Selain Indonesia, Ayob berkata anggota JI dari Malaysia turut terlibat merancang serangan berani mati ke atas Pusat Imigresen di Woodland, Singapura serta beberapa sasaran penting di Lembah Klang.

Malah, katanya, lima anggota JI dari Malaysia pernah dipilih oleh kumpulan Al-Qaeda untuk melancarkan serangan berani mati di Amerika Syarikat selepas insiden 11 September 2001.

“Dari tahun 2000 hingga 2025, sebanyak sembilan serangan bom bunuh diri dilancarkan di Indonesia oleh kumpulan pengganas seperti JI dan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), melibatkan 32 pengebom berani mati.

“Serangan tersebut mengorbankan 296 nyawa dan mencederakan lebih 976 mangsa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kumpulan militan seperti Al-Qaeda dan sekutunya sering mentakrifkan serangan bunuh diri sebagai istishhadiyyah atau pengorbanan diri di jalan Allah.

Bagaimanapun, Ayob menegaskan bahawa taktik serangan bunuh diri bukan hanya digunakan atas nama agama, sebaliknya turut digunakan oleh kumpulan berfahaman Marxist, sekular, nasionalis, pemberontak anarkis serta oleh sesebuah negara dalam peperangan, seperti serangan kamikaze oleh tentera Jepun ke atas tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbour pada 1945 dan oleh kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

“Semua perancangan serangan bunuh diri sama ada di Amerika Syarikat mahupun Malaysia berjaya dipatahkan selepas kesemua operatif kanan JI, termasuk sel bunuh diri, ditahan oleh Cawangan Khas di bawah ISA bermula 9 Disember 2001,” katanya.

+ - reset