TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Muhammad Hafizuddeain mohon bersara awal, proses cari Panglima Angkatan Tentera baharu dimulakan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memulakan proses untuk mengisi kekosongan jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT) susulan permohonan persaraan awal oleh bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar oleh peguam Muhammad Hafizuddeain, yang ketika ini sedang bercuti.

Sehubungan itu, beliau berkata ATM berada dalam proses mengenal pasti calon sesuai bagi mengisi jawatan PAT.

Pada 31 Disember lalu, Khaled mengumumkan pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera yang diputuskan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 ditangguhkan.

Pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai PAT diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang berlangsung pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.

Turut diputuskan melalui mesyuarat sama ialah pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.

"Saya ingin memaklumkan sudah menerima surat daripada peguam Muhammad Hafizuddeain yang kini sedang bercuti dan memaklumkan hasratnya untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Darat bermula 1 Januari tahun ini.

"Maka dengan permohonan untuk bersara awal ini, ia membolehkan kita memulakan proses untuk mencari pengganti kerana seperti kita sedia maklum, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini sudah membuat keputusan untuk beliau menjadi PAT.

"Tetapi keputusan (majlis) ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi dan keputusan untuk menjawat jawatan PAT sepatutnya pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan serta ditangguhkan. Maka dengan pengumumannya untuk bersara awal bermula 1 Januari, jawatan PAT itu kosong," katanya.

ATM akan mulakan proses cari PAT baharu

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, antara alasan Muhammad Hafizuddeain memohon persaraan awal adalah bagi membolehkan ATM memulakan proses pelantikan Panglima Angkatan Tentera yang baharu.

"Sekarang posisi (jawatan) itu dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, jadi proses untuk memulakan pencarian PAT akan dilakukan sebelum kelulusan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Ia juga menjadi antara sebab beliau memohon untuk persaraan awal, bagi membolehkan kita mengisi jawatan PAT. Namun soal jawatan tertinggi ini adalah membabitkan proses di mana Majlis Angkatan Tentera akan memainkan peranan sebelum ia diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

"Sekiranya Tuanku tidak bersetuju dengan mana-mana nama itu, maka kita akan bawakan lagi nama sehingga Tuanku perkenan," katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).

SPRM memaklumkan bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak tahun 2023.

Selain menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya, SPRM turut merampas tiga jongkong emas, kenderaan mewah serta 23 utas jam jenama Rolex bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, Mohamed Khaled mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap beliau selesai.

+ - reset