TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM perkenal Polisi Perlindungan Kanak-Kanak tangani isu buli di sekolah - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 12 Jan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh usaha menangani kes buli dalam kalangan murid sekolah dengan memperkenalkan Child Protection Policy (CPP) atau Polisi Perlindungan Kanak-Kanak yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, polisi berkenaan akan ditandatangani oleh semua pihak berkepentingan di sekolah sebagai tanda komitmen bersama dalam menjaga kebajikan dan keselamatan murid.

"Ini memang komitmen kita sepanjang masa dan saya sudah menegaskannya dalam amanat Tahun Baharu.

"Dalam konteks tahun ini, semua pihak akan menandatangani polisi ini yang membabitkan semua pemegang taruh dengan aku janji untuk menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak kita. Ibu bapa jangan lupa sign (tandatangan) ya," seloroh Fadhlina.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, di sini, pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Menurut Fadhlina, pelaksanaan CPP merupakan antara pembaharuan penting yang diperkenalkan KPM, selain penyediaan manual Sekolah Sejahtera dan Sekolah Selamat yang kini berada di peringkat akhir.

"Ini antara perkara baharu yang kita perkenalkan. Manual buku Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat juga sedang dalam peringkat akhir untuk kita kongsikan dengan ibu bapa dan seluruh masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam melindungi anak-anak kita. Insya-Allah," katanya.

Beliau menegaskan, polisi berkenaan akan diperkenalkan secara rasmi seiring pembukaan sekolah dalam tempoh terdekat.

"Polisi itu akan diperkenalkan. Maksudnya apabila sekolah dibuka dalam masa terdekat, mereka akan menandatanganinya," katanya.

+ - reset