Berita Dunia
Pesawat Air Force One ke Davos dinaiki Trump terpaksa berpatah balik
WASHINGTON 21 Jan - Pesawat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terpaksa berpatah balik ke Pangkalan Bersama Andrews tidak lama selepas berlepas ke Switzerland susulan isu teknikal yang dikenal pasti ketika penerbangan.
Rumah Putih memaklumkan pesawat Air Force One kembali ke pangkalan itu sebagai langkah berjaga-jaga selepas berlaku “masalah elektrik kecil”.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, pesawat berkenaan mendarat semula sejurus selepas jam 11 malam (0400 GMT).
Wartawan yang turut serta dalam penerbangan melaporkan lampu di dalam kabin pesawat terpadam seketika sejurus selepas berlepas.
Trump dan rombongannya kemudiannya dijadualkan bertukar kepada pesawat lain sebelum meneruskan perjalanan ke Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, di mana Presiden AS itu dijangka berdepan pemimpin Eropah berkaitan usahanya untuk menguasai Greenland.
Wartawan dilihat meninggalkan pesawat Air Force One di landasan Pangkalan Bersama Andrews, Maryland, hari ini selepas pesawat itu berpatah balik susulan “masalah elektrik kecil” sejurus berlepas ke Switzerland, menurut Rumah Putih.
Sementara itu, wakil media turut dilihat berkumpul selepas turun dari pesawat berkenaan sebaik ia kembali ke pangkalan tersebut, menurut laporan agensi berita.
Dengan liveri biru dan putih ikonik, Air Force One sering dianggap sebagai pesawat paling ikonik di dunia dan simbol yang mudah dikenali bagi jawatan presiden AS.
Trump sebelum ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan pesawat Air Force One sedia ada — dua pesawat Boeing 747-200B yang diubah suai khas dan mula berkhidmat pada 1990 di bawah pentadbiran Presiden George H W Bush.
Tahun lalu, Trump berkata pentadbirannya sedang “menilai alternatif” kepada Boeing berikutan kelewatan penghantaran dua pesawat 747-8 baharu.
Pada Mei lalu, Ketua Pentagon, Pete Hegseth menerima sebuah pesawat Boeing 747 yang ditawarkan oleh Qatar kepada Trump untuk digunakan sebagai Air Force One.
Pesawat bernilai ratusan juta dolar itu mencetuskan persoalan besar dari sudut perlembagaan dan etika, selain kebimbangan keselamatan berkaitan penggunaan pesawat yang didermakan oleh kuasa asing sebagai pesawat presiden yang amat sensitif. – AFP
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
