Berita Dunia
17 terkorban, pelancong Malaysia antara ratusan hilang dalam kejadian banjir kilat di sempadan Nepal-China
KATHMANDU 26 OGOS – Sekurang-kurangnya 17 nyawa terkorban manakala hampir 400 lagi masih dilaporkan hilang selepas bencana banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan berhampiran sempadan Nepal dan China.
Kejadian yang berlaku pada awal pagi Rabu itu telah memusnahkan beberapa kampung serta merosakkan laluan perhubungan dan infrastruktur utama di wilayah terbabit.
Bencana yang berlaku di daerah Rasuwa, terletak di utara ibu negara Nepal, dipercayai berpunca daripada kejadian gempa bumi yang mencetuskan runtuhan salji.
Salji yang mencair itu kemudiannya melimpah deras ke dalam Sungai Bhote Koshi lalu merentasi kawasan penempatan penduduk.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di kedua-dua belah sempadan China dan Nepal, dengan 12 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.
Pihak berkuasa tempatan dan media rasmi China menjangkakan angka korban berpotensi meningkat susulan kemusnahan skala besar yang berlaku di kawasan terjejas.
Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan bagi mengesan kedudukan 291 pelancong asing dan 93 warga tempatan, termasuk jurupandu arah.
Antara pelancong yang dilaporkan berada di lokasi kejadian termasuk warga dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Malaysia, Afrika Selatan dan India.
Pihak polis Nepal mengesahkan bahawa kesemua agensi keselamatan telah dikerahkan dan bekerjasama rapat dalam operasi penyelamatan.
Kejadian itu turut menyebabkan terputusnya bekalan elektrik, talian komunikasi serta laluan darat utama yang menghubungkan kawasan terjejas ke Kathmandu.
Situasi tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga dan ahli keluarga mangsa.
Seorang ahli perniagaan dari China yang menetap di Kathmandu, Yee Liang, memberitahu bahawa beliau telah terputus hubungan dengan tujuh pemandu lori perkhidmatan logistiknya yang berada di lokasi.
Menurut beliau, kejadian kali ini jauh lebih buruk berbanding insiden tanah runtuh biasa yang sering berlaku ketika musim hujan.
Sementara itu, usaha pemerhatian dari udara menggunakan helikopter yang dianjurkan pihak berkuasa Nepal berdepan kesukaran berikutan tiupan angin kencang di kawasan pergunungan.
Susulan bencana tersebut, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, telah mengadakan mesyuarat tergempar dan mengarahkan kerjasama penuh bersama pasukan terlibat.
Menteri Hal Ehwal Luar Nepal, Shishir Khanal, turut memaklumkan kepada parlimen bahawa puluhan anggota keselamatan termasuk polis dan tentera adalah antara yang masih hilang dalam tragedi berkenaan.
Pihak pengurusan bencana kini menggesa penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai yang berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan.
Berita berkaitan
August 25, 2026, 12:56 pm
Thailand perketat penguatkuasaan trafik termasuk dari Malaysia
August 25, 2026, 12:40 pm
Pattani bergegar lagi, polis tahan dua suspek
August 24, 2026, 8:33 pm
Spider-Man 'muay thai' individu anti orang islam
August 24, 2026, 4:50 pm
Selatan Thailand terus bergolak, lima lagi siri letupan bom gegarkan Narathiwat dan Pattani
August 21, 2026, 10:56 am
Rumah Putih dakwa Malaysia, Indonesia antara puluhan negara bantu China elak tarif AS
August 15, 2026, 11:05 am
Trump dakwa akan isytihar Selat Hormuz sebagai wilayah AS
August 13, 2026, 12:55 pm
Belayar dari Port Klang, kapal kontena Nawata Bhum rempuh tebing sungai di India
August 12, 2026, 8:12 pm
Rak jemuran jatuh dari langit hempas warga emas, penunggang motosikal
August 12, 2026, 4:14 pm
