Berita Berita
Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang ikut lunas perlembagaan, tidak sama isu Sulu
ALOR SETAR 29 Jan – Kerajaan Kedah menegaskan tuntutan negeri itu terhadap Pulau Pinang dilaksanakan mengikut lunas perundangan serta kerangka Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh disamakan dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendekatan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang sedia ada tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
“Kita bergerak secara perlembagaan dan dalam kerangka undang-undang. Dakwaan mengatakan perkara ini tidak berperlembagaan adalah tidak tepat kerana kita bertindak mengikut saluran yang betul dan tidak melanggar mana-mana peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.
Menurut Muhammad Sanusi, isu tuntutan Sulu adalah berbeza sama sekali kerana ia melibatkan pihak luar Malaysia, manakala Kedah masih wujud sebagai sebuah entiti berperlembagaan dalam negara.
“Isu Sulu bukan dalam Malaysia, sultan Sulu pun sudah tidak ada. Kedah masih wujud, jadi perbandingan itu tidak sama dan jauh berbeza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pembentangan akhir berkaitan tuntutan tersebut telah dibentangkan kepada kerajaan negeri, manakala dokumen lengkap oleh pasukan peguam dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
“Kita akan hadapi perkara ini secara berperlembagaan dan tidak melanggar undang-undang. Jika ada isu yang perlu dibawa ke hadapan, ia mesti melalui saluran yang sah,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak tidak seharusnya melabel tuntutan itu sebagai tidak berperlembagaan tanpa memahami asas undang-undang yang diguna pakai.
“Takkan semua perkara dianggap tidak berperlembagaan. Insya-ALLAH, perkara ini akan diselesaikan dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai sama dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, selain mendakwa ia tidak berperlembagaan.
Berita berkaitan
January 29, 2026, 4:38 pm
Mahkamah Tinggi arah Chegubard, pempengaruh bayar RM550,000 kepada Farhash
January 29, 2026, 4:33 pm
Sekolah agama JAIS diselaras dengan dasar pendidikan kebangsaan
January 29, 2026, 4:21 pm
Kepercayaan rakyat terhadap ATM perlu dibina melalui integriti, bukan hanya slogan – Anwar
January 29, 2026, 3:15 pm
Deretan kedai di Taman Medan musnah dalam kebakaran
January 29, 2026, 2:54 pm
Sindiket dadah bertukar 'homestay' bungkus dadah, polis rampas 261kg bernilai RM 13 juta di Sentul
January 29, 2026, 2:09 pm
MyKad baharu boleh jejak rekod pembelian minyak masak bersubsidi mulai 1 Jun - Armizan
January 29, 2026, 1:48 pm
