Berita Berita
MyKad baharu boleh jejak rekod pembelian minyak masak bersubsidi mulai 1 Jun - Armizan
KUALA LUMPUR 29 Jan - Setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat tempatan akan direkodkan secara sistematik menerusi penggunaan MyKad baharu yang akan diperkenalkan mulai 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyKad baharu yang dilengkapi kod QR itu akan menjadi antara opsyen pembelian bagi memastikan subsidi hanya dimanfaatkan warganegara, selain mengekang pembelian oleh warga asing.
"Jika sekarang, aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) menggunakan kod QR, dengan hanya mengimbas kad pengenalan yang mempunyai kod QR itu juga nanti, membolehkan pembelian minyak masak paket dimanfaatkan masyarakat kita," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung cadangan kerajaan untuk mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi berkaitan lain.
Menurut Armizan, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mengintegrasikan platform MyKasih, yang kini digunakan untuk program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pembelian RON95, bagi tujuan pembelian minyak masak bersubsidi.
Menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keberkesanan eCOSS dalam pengagihan minyak masak paket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan internet, Armizan menjelaskan bahawa bagi fasa rintis penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS bermula Mei lalu, pembelian secara manual masih dibenarkan.
Katanya, perekodan transaksi bagi kaedah berkenaan akan dibuat secara manual di premis peruncitan terlibat.
"Pembelian secara manual atau kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang masih belum mempunyai capaian kemudahan internet.
"Bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan oleh peruncit dengan modul khas bagi kumpulan warga emas atau golongan miskin yang tidak mempunyai telefon mudah alih dengan rangkaian internet," katanya.
Armizan berkata, sistem eCOSS turut mendaftarkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi, termasuk syarikat kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit, selain merekodkan transaksi jual beli minyak masak kemasan paket di semua peringkat pengedaran.
Berita berkaitan
January 29, 2026, 3:15 pm
Deretan kedai di Taman Medan musnah dalam kebakaran
January 29, 2026, 3:02 pm
Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang ikut lunas perlembagaan, tidak sama isu Sulu
January 29, 2026, 2:54 pm
Sindiket dadah bertukar 'homestay' bungkus dadah, polis rampas 261kg bernilai RM 13 juta di Sentul
January 29, 2026, 1:48 pm
Warga asing dilarang beli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac ini - Armizan
January 29, 2026, 1:09 pm
Pegawai Imigresen didakwa terima suapan RM5,100 lepaskan warga asing di KLIA
January 29, 2026, 1:02 pm
Warga emas 72 tahun diseret hampir 10 meter pertahan barang kemas dari diragut penyangak di Kota Bharu
January 29, 2026, 11:19 am
