TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga asing dilarang beli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac ini - Armizan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Jan - Kerajaan akan menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga asing berkuat kuasa 1 Mac ini bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, larangan itu dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut beliau, kementerian kini sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan larangan berkenaan.

"Jika sebelum ini, melalui penguatkuasaan undang-undang, ada pihak menggesa supaya dilarang penjualan dan pembelian oleh warga asing, namun premis peruncitan membangkitkan isu praktikal... bagaimana prosedur operasi standard (SOP), penguatkuasaan dan pemantauan.

"Jadi, dengan adanya larangan ini, kita dapat memastikan subsidi itu akan dimanfaatkan oleh warganegara dan tidak dibuka ruang itu kepada warga asing," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keperluan kuota tambahan kepada keluarga miskin yang besar susulan had kuota sedia ada dalam Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), selain cadangan mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi berkaitan lain.

Mengulas perkara itu, Armizan menjelaskan bahawa ketika ini KPDN tidak menetapkan kuota pembelian berdasarkan isi rumah di bawah eCOSS, sebaliknya had pembelian ditetapkan sebanyak tiga paket bagi setiap ahli isi rumah.

"Jika ada isi rumah yang memerlukan lebih, kita tidak hadkan oleh anak, isteri, bapa untuk membeli. Jadi, tidak ada isu berbangkit jika ada keperluan tambahan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai faktor penyelewengan minyak masak bersubsidi yang masih berleluasa, Armizan berkata ia antara lain berpunca daripada ketiadaan sistem pemantauan rekod pembelian minyak masak oleh individu sebelum ini.

"Selain itu, salah satu faktor lagi adalah pembelian minyak masak terpakai, yang harganya sekarang adalah RM4 per kilogram (kg), sedangkan kita menjual minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50.

"Jadi, maksudnya dengan membeli minyak masak paket, dicampur aduk dan dijual sebagai minyak masak terpakai pun sudah boleh untung RM1.50," katanya.

Sehubungan itu, Armizan berkata selain memperkukuh penguatkuasaan, mekanisme pengurusan risiko ketirisan turut diperlukan dan pelaksanaan sistem eCOSS merupakan antara langkah pengurusan risiko yang membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan berasaskan sistem dan data.

Beliau memaklumkan, sejak Mei 2025, sistem eCOSS berjaya merekodkan penjualan lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi kepada warganegara.

"Sekurang-kurangnya kita sudah ada data siapakah yang membeli minyak masak paket ini dan hala tuju program ini juga dapat kita tentukan bersandarkan kepada keputusan yang dipacu data.

"Itulah matlamat kita untuk memastikan subsidi dengan aplikasi kewangan yang cukup besar ini akan dapat diteruskan dan benar-benar memanfaatkan rakyat," katanya.

+ - reset