TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ambil 20,000 guru kontrak: Calon simpanan jangan panik, KPM beri jaminan

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 3 Feb – Pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara lantikan kontrak oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Mac ini tidak menjejaskan peluang calon guru simpanan sedia ada, sebaliknya membuka ruang lebih luas untuk penyerapan ke dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi menggerakkan calon guru simpanan yang telah lulus temu duga dan memenuhi kelayakan ditetapkan.

Menurutnya, calon yang dikategorikan sebagai simpanan tidak perlu bimbang kerana peluang untuk diserap masih terbuka dan bergantung kepada keperluan semasa sekolah.

“Calon simpanan ada peluang yang cerah. Penempatan mungkin melibatkan sekolah rendah atau menengah serta opsyen yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Papan Pintar Interaktif kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kebimbangan segelintir calon guru simpanan susulan pengumuman pengambilan besar-besaran 20,000 guru baharu yang dijadualkan bermula pertengahan tahun ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac bagi memenuhi keperluan guru di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah itu merupakan persiapan awal KPM menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain menampung kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu secara sukarela mulai tahun hadapan.

Dalam perkembangan sama, Wong berkata pengambilan guru baharu itu akan memfokuskan kepada sekolah rendah, khususnya bagi menghadapi situasi kemasukan murid melibatkan dua kohort tahun satu pada tahun depan.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 45 SJKT di Negeri Sembilan menerima masing-masing sebuah papan pintar interaktif dengan peruntukan keseluruhan RM540,000.

Katanya, inisiatif melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu dijangka memperkukuh kaedah pembelajaran interaktif serta melengkapkan murid dengan kemahiran teknologi digital selari keperluan semasa.

+ - reset