Berita Berita
Pengambilan 20,000 guru kontrak tidak jejas calon simpanan sedia ada – KPM
SEREMBAN 4 Feb – Pengambilan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara lantikan kontrak oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Mac ini tidak akan menjejaskan peluang calon guru simpanan sedia ada untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya turut berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi menggerakkan calon guru simpanan yang berkelayakan mengikut keperluan semasa.
"Individu berjaya ditemu duga tetapi dikategorikan sebagai calon guru simpanan tidak perlu bimbang kerana peluang untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan masih cerah.
"Calon simpanan ada peluang yang cerah dan ia bergantung situasi... mungkin mereka akan ditempatkan sama ada di sekolah rendah, menengah dan opsyen berlainan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Papan Pintar Interaktif kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Wong mengulas kebimbangan segelintir calon guru simpanan berhubung pengambilan 20,000 guru baharu yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru di seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif pengambilan guru secara besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu secara sukarela pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, Wong berkata pengambilan guru baharu berkenaan akan memberi tumpuan kepada sekolah rendah memandangkan ia pengambilan khas bagi menampung kemasukan murid tahun satu melibatkan situasi dua kohort pada tahun hadapan.
Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 45 SJKT di Negeri Sembilan masing-masing menerima sebuah papan pintar interaktif dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM540,000.
Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu diharap dapat membawa sistem pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan, sekali gus memperkasa murid dengan kemahiran teknologi digital selaras keperluan masa kini.
Berita berkaitan
February 4, 2026, 11:06 am
Lelaki maut terjatuh dari kereta bergerak selepas pertengkaran dengan teman wanita
February 4, 2026, 11:00 am
Wanita cedera ditumbuk, cubaan samun gagal di stesen minyak TTDI
February 4, 2026, 10:09 am
78 peratus pemegang sijil halal JAKIM di Selangor terdiri peniaga bukan bumiputera
February 3, 2026, 8:21 pm
Warga asing disyaki bersenjata ‘pistol’ ditahan di kondominium, polis siasat motif sebenar
February 3, 2026, 5:32 pm
Suspek tikam ibu sampai mati di Alor Setar ada masalah kewangan, polis cari senjata digunakan
February 3, 2026, 5:28 pm
