Berita Berita
Agong tegas jangan politikkan agama, keharmonian negara mesti dipelihara
KUALA LUMPUR 11 Feb - Semua pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan sebarang isu berkaitan agama kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Malaysia dibina atas asas keharmonian, manakala kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan terhadap undang-undang.
Seri Paduka Baginda mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila baginda berperanan sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing,” titah baginda dalam hantaran yang dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Baginda bertitah, penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam bagi mengelakkan salah faham, ketegangan serta sebarang bentuk provokasi.
Menurut Seri Paduka Baginda, pendekatan saling menghormati amat penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat yang berbilang agama dan budaya. Sehubungan itu, sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat hendaklah ditangani dengan memahami serta menghormati undang-undang negara, selain diselesaikan melalui saluran yang sah.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai keharmonian, toleransi dan muhibah demi kepentingan bersama.
Baginda menegaskan, semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Dalam hal pembinaan kuil, Seri Paduka Baginda bertitah isu berkenaan hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Berita berkaitan
February 11, 2026, 12:01 pm
Had 300 liter Budi95 cukup, rakyat guna purata 100 liter sahaja sebulan - PM
February 11, 2026, 12:01 pm
Subsidi RON95 disasar, kerajaan jangka jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion
February 11, 2026, 11:53 am
Mykiosk jadi 'gajah putih', Kor Ming patut letak jawatan - Ti Lian Ker
February 11, 2026, 11:36 am
Rempuhan maut di lebuh raya, dua nyawa terkorban dalam nahas awal pagi
February 11, 2026, 10:29 am
Hampir sejuta kenderaan membanjiri Kelantan sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan
February 11, 2026, 10:11 am
Lima daerah di Kedah dilanda cuaca panas tahap satu
February 11, 2026, 10:02 am
Lebih 21,000 remaja bawah 19 tahun hamil luar nikah sejak 2019
February 11, 2026, 9:52 am
Api marak subuh, dua keluarga hilang tempat berteduh di Baling
February 10, 2026, 9:41 pm
