Berita Berita
Mykiosk jadi 'gajah putih', Kor Ming patut letak jawatan - Ti Lian Ker
KUALA LUMPUR 11 Feb - Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan penilaian keperluan sebelum melaksanakan inisiatif MyKiosk mencetuskan gesaan agar menterinya, Nga Kor Ming, melepaskan jawatan.
Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, perkara itu bukan sekadar kelemahan kecil dalam pentadbiran, sebaliknya membabitkan asas tadbir urus yang sepatutnya dipatuhi dalam pengurusan dana awam.
Ti berkata, ini bukan kesilapan pentadbiran kecil kerana penilaian dan kajian impak sedemikian merupakan ‘syarat asas bagi tadbir urus awam yang cekap’.
“Apabila berbilion dana awam dipertaruhkan, kegagalan bertanya soalan asas – siapa yang perlukannya, di mana ia patut ditempatkan, dan bagaimana kejayaan akan diukur – bukan sahaja cuai tetapi tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ti, isu MyKiosk hanyalah sebahagian daripada ‘senarai panjang pertimbangan yang boleh dipertikaikan dan keutamaan yang tersasar’, termasuk arahan Nga tahun lepas untuk menukar empat tandas awam kepada tandas pintar, serta kebimbangan orang ramai berhubung Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Setiap episod tunjuk pola serupa – pembuatan keputusan yang tidak peka, asas dasar yang lemah dan reaksi susulan negatif orang ramai. Secara terkumpul, insiden-insiden ini menunjukkan bukan berlakunya kesilapan sekali dua, tetapi kelemahan berterusan dalam kecekapan kepimpinan.
“Apabila sesebuah kementerian berulang kali melaksanakan projek yang gagal memenuhi objektif, menarik dapatan audit negatif dan mendorong cadangan tadbir urus daripada SPRM sendiri, tanggungjawab tidak boleh dialihkan kepada pegawai bawahan atau pihak berkuasa tempatan sahaja.
“Tanggungjawab politik terletak pada menteri,” katanya.
Ti berkata, Nga harus meletak jawatan atas dasar akauntabiliti yang ‘memberi isyarat menghormati institusi, pembayar cukai dan prinsip bahawa kepimpinan menanggung akibat’.
“Keputusan terus memegang jawatan, walaupun berulang kali gagal dalam tadbir urus, berisiko menormalkan ketidakcekapan dan menghakis keyakinan awam terhadap reformasi kerajaan,” katanya.
Terdahulu, SPRM memaklumkan ketiadaan penilaian keperluan serta mekanisme pemantauan hasil yang komprehensif, termasuk petunjuk prestasi utama (KPI), telah menyekat penilaian impak projek di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Suruhanjaya itu turut mengemukakan lima cadangan penambahbaikan tadbir urus kepada kementerian berkenaan, termasuk memasukkan hasil projek MyKiosk ke dalam KPI serta menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau keberkesanan dan hasil pelaksanaannya.
Cadangan lain merangkumi penambahbaikan garis panduan inisiatif tersebut meliputi aspek perolehan, pengurusan dan pemantauan, selain mewujudkan garis panduan lengkap bagi pelaksanaan projek dibiayai persekutuan sebagai rujukan.
Berita berkaitan
February 11, 2026, 12:01 pm
Had 300 liter Budi95 cukup, rakyat guna purata 100 liter sahaja sebulan - PM
February 11, 2026, 12:01 pm
Subsidi RON95 disasar, kerajaan jangka jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion
February 11, 2026, 11:51 am
Agong tegas jangan politikkan agama, keharmonian negara mesti dipelihara
February 11, 2026, 11:36 am
Rempuhan maut di lebuh raya, dua nyawa terkorban dalam nahas awal pagi
February 11, 2026, 10:29 am
Hampir sejuta kenderaan membanjiri Kelantan sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan
February 11, 2026, 10:11 am
Lima daerah di Kedah dilanda cuaca panas tahap satu
February 11, 2026, 10:02 am
Lebih 21,000 remaja bawah 19 tahun hamil luar nikah sejak 2019
February 11, 2026, 9:52 am
Api marak subuh, dua keluarga hilang tempat berteduh di Baling
February 10, 2026, 9:41 pm
