TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saifuddin akan jelaskan isu rumah ibadat kepada Jemaah Menteri

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 12 Feb – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan penjelasan terperinci kepada Jemaah Menteri esok berhubung isu rumah ibadat yang didakwa tidak mematuhi peraturan, termasuk kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang.

Beliau berkata, taklimat itu akan merangkumi fakta sebenar kejadian, pihak yang terlibat serta tindakan pasukan polis dalam mengawal keadaan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memberi gambaran menyeluruh kerana tindakan penguatkuasaan sering dilihat daripada sudut tertentu sahaja.

“Kadangkala apabila ada pihak menganjurkan perhimpunan berkaitan isu ini, tindakan penguatkuasaan dianggap sebagai tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Saifuddin menjelaskan, polis menggunakan peruntukan Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan yang dibenarkan undang-undang bagi menghalang tindakan tertentu.

Tegasnya, kebebasan bersuara mempunyai batas dan tidak boleh disalahgunakan untuk menghasut atau meniup sentimen perkauman serta agama.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama wujud, namun kebelakangan ini kembali dibangkitkan sehingga memberi persepsi seolah-olah ia timbul dalam tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Hakikatnya perkara ini sudah lama berlaku, tetapi ada pihak yang memilih untuk memanipulasikan isu dengan memainkan sentimen dan emosi tanpa menawarkan penyelesaian,” katanya.

Beliau menegaskan, jika melibatkan soal status tanah, pemilikan atau perancangan bandar, semua pihak perlu mematuhi saluran undang-undang yang ditetapkan dan bukan mengambil tindakan sendiri sehingga mencetuskan provokasi.

Katanya, penyelesaian perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi penguat kuasa mengikut bidang kuasa masing-masing, bukan dijadikan modal politik.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara dan Pengarah Cawangan Khas menyediakan laporan lengkap berhubung isu berkenaan bagi memastikan setiap tindakan dibuat berasaskan fakta dan perundangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru masyarakat agar terus memelihara keharmonian dalam negara berbilang kaum dan agama dengan menyelesaikan sebarang pertikaian mengikut lunas undang-undang.

Semalam, media melaporkan empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian merobohkan kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan tersebut.

+ - reset