Berita Berita
Kemboja tutup 200 pusat 'scam', 173 dalang ditahan
KAMPOT, Kemboja 12 Feb – Kerajaan Kemboja menutup hampir 200 pusat penipuan dalam talian menerusi operasi besar-besaran membanteras jenayah rentas negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Pihak berkuasa turut memberi akses kepada media ke salah satu pusat berkenaan sebagai bukti tindakan tegas diambil terhadap operasi canggih yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia.
Menteri Kanan merangkap Pengerusi Suruhanjaya Kemboja untuk Memerangi Penipuan Dalam Talian, Chhay Sinarith berkata, kira-kira 190 lokasi seumpamanya sudah ditutup setakat ini.
Beliau berkata, seramai 173 penjenayah kanan yang mempunyai kaitan dengan pusat penipuan itu sudah ditahan, manakala kira-kira 11,000 pekerja dihantar pulang dalam kempen yang bermula pada akhir 2025.
Kempen tersebut dilancarkan selepas Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang lelaki kelahiran China, yang kemudiannya diekstradisi oleh China dan digelar sebagai ‘raja penipuan’.
Sejak itu, ribuan pekerja sindiket, termasuk mangsa pemerdagangan manusia, melarikan diri dari kompleks penipuan untuk pulang ke negara masing-masing.
Di kompleks di Kampot, wartawan dibawa meninjau bilik kerja berskala besar lengkap dengan stesen komputer, dokumen arahan untuk memperdaya mangsa dari Thailand, studio panggilan telefon serta balai polis palsu yang menyamar sebagai pihak berkuasa India.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat di dalam kompleks kasino Kampot yang dikenali sebagai My Casino kerana pekerja sudah melarikan diri selepas penahanan bos mereka, Ly Kuong.
Ketua Polis Wilayah Kampot, Mao Chanmothurith berkata, pihaknya berdepan kekurangan anggota untuk menahan ribuan pekerja yang keluar serentak dari kompleks berkenaan.
"Kami hanya mempunyai kira-kira 1,000 anggota polis di seluruh wilayah ini dan kira-kira 300 anggota polis tentera.
"Walaupun kedua-dua pasukan digabungkan, kami masih tidak dapat menghentikan mereka kerana terdapat kira-kira 6,000 hingga 7,000 orang ketika mereka meninggalkan tempat ini," katanya.
Lawatan media itu dibuat seminggu selepas pegawai Thailand membawa wakil media dan delegasi asing ke satu lagi kompleks berasingan di wilayah Kemboja yang sebelum ini dibom dan diduduki tentera Thailand.
Media turut menemui bahan serupa di lokasi tersebut, termasuk balai polis palsu dari pelbagai negara serta timbunan dokumen berkaitan penipuan.
Sebelum ini, Kemboja menafikan kewujudan kompleks penipuan berkenaan dan beberapa operasi terdahulu didakwa gagal mengekang penyebarannya.
Namun, pegawai kerajaan memaklumkan kempen terbaharu kini dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan tumpuan menutup semua lokasi dikenal pasti serta menahan figura utama sindiket.
Berita berkaitan
February 12, 2026, 5:08 pm
Saifuddin minta pihak tuduh Azam Baki kemuka bukti
February 12, 2026, 5:01 pm
Angkara salah faham, lelaki ambil nyawa sendiri selepas tikam isteri 13 kali hingga maut di Kepong
February 12, 2026, 3:31 pm
Selangor henti lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat - Amirudin
February 12, 2026, 2:34 pm
Dewan rakyat pertimbang saringan kesihatan mental Ahli Parlimen
February 12, 2026, 2:28 pm
KPDN beri amaran peniaga bazar Ramadan patuh tanda harga atau diambil tindakan
February 12, 2026, 2:22 pm
AMK yakin kerjasama UMNO-Pas beri kelebihan kepada PH di Melaka
February 12, 2026, 1:33 pm
