TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat disyaki sabotaj Facebook Bersatu ketika krisis kepimpinan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Feb – Empat individu disyaki terbabit dalam tindakan sabotaj akaun Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika kemelut dalaman parti memuncak susulan pemecatan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Harris Idaham Rashid, berkata individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menurutnya, siasatan dalaman mendapati empat pengendali yang mempunyai akses ketika kejadian turut dikaitkan dengan bekas Ketua ARMADA merangkap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau menjelaskan, kesemua mereka mempunyai keupayaan mengawal kandungan termasuk mesej, panggilan, aktiviti komuniti, iklan, analitik serta kebenaran pentadbiran halaman.

“Semua akses yang terlibat telah ditamatkan pada jam 12.41 tengah malam. Pengurusan akaun kini kembali sepenuhnya kepada pegawai parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kronologi kejadian, beliau memaklumkan hantaran didakwa berunsur sabotaj bermula jam 8.54 pagi dan berakhir 11.44 malam hari sama. Sepanjang tempoh hampir 15 jam itu, sebanyak 21 hantaran dimuat naik oleh seorang pentadbir yang memaparkan imej positif terhadap Hamzah, namun sebaliknya terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

ARMADA, katanya, memainkan peranan membantu memulihkan kawalan akaun dan menyifatkan insiden tersebut sebagai petunjuk wujudnya elemen dalaman yang menjejaskan parti.

Terdahulu, beberapa hantaran yang dimuat naik di laman rasmi parti dilihat mengkritik kepimpinan presiden selain menyentuh isu dalaman termasuk dakwaan berkaitan pengaruh terhadap Lembaga Disiplin parti dan hubungan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa akaun Facebook parti telah diceroboh dan kandungan yang disiarkan tidak mewakili pendirian rasmi.

Beliau berkata, laporan telah dibuat kepada pihak Facebook (Meta), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes berkenaan dipercayai melibatkan kemungkinan pelanggaran di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

+ - reset