TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek bunuh wanita di Indah Permai mengaku kerat mangsa seorang diri

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 14 Feb – Suspek utama kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemukan di beberapa lokasi sekitar Taman Indah Permai di sini mengaku mengerat anggota badan mangsa seorang diri menggunakan parang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, pengakuan itu diperoleh ketika proses soal siasat dijalankan pihak polis.

Menurutnya, mangsa merupakan wanita warga asing berusia 44 tahun yang memegang dokumen IMM13.

“Mangsa dipercayai datang ke rumah keluarga suspek yang berusia 70 tahun itu untuk berjumpa dengannya. Siasatan awal mendapati motif kejadian lebih kepada unsur cemburu dan rasa tidak puas hati.

“Mangsa dikatakan telah berkahwin dengan individu lain, menyebabkan suspek cemburu hingga tercetus pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penemuan anggota badan mangsa secara berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar kawasan berkenaan.

Penemuan awal melibatkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut menemukan bahagian kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

Susulan kejadian itu, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan, dengan suspek utama berusia 71 tahun dikenal pasti sebagai bekas tunang mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

+ - reset