TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi berhak berhimpun, tiada isu dalaman PKR setakat ini - Fahmi

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 16 Feb – Semua rakyat mempunyai hak untuk berhimpun seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dalaman parti berhubung tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara, semalam.

“Dia (Rafizi) ada hak untuk melaksanakan apa yang dia rasa dia nak lakukan. Di bawah perlembagaan, rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun.

“Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur memaklumkan sekitar 150 hingga 200 orang hadir dan tiada insiden mencemaskan atau mengganggu keselamatan, maka ia tidak menjadi isu,” katanya.

Menurut Fahmi, parti belum membincangkan perkara tersebut dan menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan lanjut.

“Kita belum bincang lagi. Setakat ini Setiausaha Agung parti belum maklumkan ada terima sebarang aduan,” katanya selepas Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, hari ini.

Jawatankuasa khas siasat Azam Baki

Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki akan diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan yang telah dibentuk Jemaah Menteri sebelum himpunan tersebut diadakan.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan tidak boleh menafikan tindakan tegas yang diambil SPRM terhadap pelbagai salah laku rasuah dan kartel dadah sehingga berjaya melakukan tangkapan serta rampasan besar dalam negara.

“Akhir-akhir ini, badan penguat kuasa ambil tindakan sangat tegas terhadap perasuah dan kumpulan kartel sama ada menyeludup dadah atau membanteras kegiatan pengubahan wang haram, jadi kita kena beri kredit sewajarnya.

“Mana ada yang sempurna. Saya tidak sempurna, Perdana Menteri pun tidak sempurna, Rafizi tidak sempurna, Azam pun tidak sempurna.

“Bulan Ramadan ini kita diajar bermuhasabah, saya harap semua akan bermuhasabah diri masing-masing,” katanya.

+ - reset