TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Azalina saran pemilik tanah guna saluran undang-undang, elak bertindak sendiri

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 16 Feb – Pemilik tanah yang diceroboh dan dibina rumah ibadat tanpa kelulusan dinasihatkan supaya menggunakan saluran perundangan bagi melindungi hak masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, pemilik tidak seharusnya bertindak sendirian dengan membelakangi undang-undang sedia ada.

Menurut beliau, tindakan sendiri termasuk merobohkan struktur yang telah dibina mungkin menimbulkan isu lebih sensitif, terutama jika terdapat persetujuan terdahulu yang tidak direkodkan secara bertulis.

“Susah untuk saya ulas kerana kita tidak tahu apa cerita di belakang… mungkin sebelum ini ada mendapat kebenaran tetapi tidak direkodkan atau ada pembayaran.

“Itu sebabnya kita kena percaya kepada sistem mahkamah. Bantahan itu perlu direkodkan sama ada dalam bentuk laporan polis atau tuntutan daripada peguam. Saya yakin sistem kita masih tertib,” katanya selepas merasmikan Peluncuran Program Pelepasan Dasar Kedua – Fast Track 2026, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang menetapkan beberapa langkah perlu diambil pemilik tanah sekiranya berlaku pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata antara langkah disarankan ialah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan proses pendakwaan dimulakan jika kesalahan dapat dibuktikan.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal peguam Haniff Khatri Abdullah yang menegaskan pemilik tanah tidak memerlukan perintah mahkamah sebelum melaksanakan perobohan struktur binaan haram berdasarkan fakta kes terdahulu.

Mengulas lanjut, Azalina mencadangkan pihak terlibat menggunakan kaedah mediasi bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di tanah yang didakwa diceroboh.

Katanya, perkara membabitkan anutan dan agama adalah sensitif serta memerlukan pendekatan yang wajar dan berhemah.

“Kita di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) juga ada mediasi, tidak semestinya pergi ke mahkamah. Jika melalui mediasi, ia boleh mempercepatkan penyelesaian konflik serta mengurangkan kos kewangan.

“Tahun 2026 akan menjadi fokus kepada BHEUU untuk menggerakkan pusat mediasi dalam semua aspek masyarakat,” katanya.

+ - reset