Berita Dunia
Indonesia sedia hantar hingga 8,000 askar ke Gaza - Prabowo
JAKARTA 20 Feb – Indonesia menegaskan kesediaannya untuk memainkan peranan lebih besar dalam usaha keamanan di Gaza dengan menawarkan sehingga 8,000 anggota tentera bagi menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Presiden Prabowo Subianto berkata Indonesia komited untuk menyumbang sehingga 8,000 anggota tentera atau lebih jika perlu bagi mengambil bahagian secara aktif dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, Palestin.
Berucap pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan (BoP) di Washington, D.C., Amerika Syarikat, Prabowo berkata Indonesia menyokong sepenuhnya pelan damai 20 perkara Presiden AS, Donald Trump dan telah bersetuju dengannya sejak awal.
"Indonesia, sejak hari pertama kami mengkaji pelan 20 perkara Trump, kami bersetuju sepenuhnya dan komited sepenuhnya terhadap pelan ini, sebab itu kami menyertai BoP, kami komited terhadap kejayaannya.
"Kami tahu akan terdapat banyak halangan dan kesukaran, namun kami amat optimistik dengan kepimpinan Trump, visi keamanan sebenar ini akan tercapai.
"Akan ada masalah, tetapi kita akan berjaya, kita akan mencapai impian kita untuk keamanan di Palestin, keamanan, penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi isu Palestin dan di Gaza," katanya dalam teks ucapan dikongsikan di laman sesawang Sekretariat Presiden hari ini.
Prabowo turut mengalu-alukan kemajuan yang dicapai melalui gencatan senjata, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang nyata dan signifikan.
"Pencapaian gencatan senjata ini adalah nyata, kami memujinya dan oleh itu kami menegaskan semula komitmen untuk menyumbang sejumlah besar anggota tentera," katanya.
Prabowo berlepas ke Washington pada Isnin lalu untuk lawatan kerja ke AS. Selain menghadiri mesyuarat BoP, beliau juga dijangka menandatangani Perjanjian Indonesia-AS mengenai tarif timbal balas (ART) bersama Trump semasa lawatan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan, Prabowo berkata, Indonesia bersedia menghantar kumpulan perintis dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Mengenai peranan bakal dimainkan Indonesia dalam ISF, beliau berkata, negara itu telah diminta untuk memegang jawatan timbalan komander.
"Jika dipilih, kita akan mencari yang terbaik," katanya.
Rakaman video temu bual itu dimuat naik ke akaun YouTube Sekretariat Presiden.
Sebelum ini, Kementerian Luar menjelaskan kemungkinan penyertaan Indonesia dalam ISF Gaza akan berada sepenuhnya di bawah kawalan nasional dan bersifat bukan tempur.
Mengenai mesyuarat BoP, Prabowo berkata, ia berjalan lancar dan pemimpin yang mengambil bahagian telah diberi taklimat mengenai kemajuan ketara, khususnya dalam aliran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Tambahnya, pengagihan bantuan makanan dan bekalan keperluan lain meningkat dengan ketara, mencapai tahap tertinggi dalam beberapa tahun, selain perancangan masa depan turut dibincangkan.
"Kita harus bertekad untuk mencapai keberhasilan demi rakyat Palestin, kita tentunya komited. Beberapa negara Islam, semua menegaskan komitmen untuk benar-benar mencapai keamanan yang berkekalan dan hanya keamanan berkekalan dalam kenyataan kita.
"Negara-negara dalam kelompok lapan, kelompok negara-negara Islam yang pertama kali diundang untuk melaksanakan atau mengambil bahagian dalam usaha BoP ini, bagi kita, penyelesaian sebenar. Satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah penyelesaian dua negara," katanya.
Berita berkaitan
February 20, 2026, 9:40 am
Mesir hantar bantuan tambahan ke Gaza sempena Ramadan
February 5, 2026, 9:28 pm
Tony Jaa bertarung nyawa: Hidap kanser tahap
January 29, 2026, 3:08 pm
China laksana hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket scammer Myanmar
January 29, 2026, 9:10 am
Tanah runtuh Bandung Barat: 53 mayat ditemukan, operasi SAR masuk hari kelima
January 23, 2026, 12:04 pm
AS secara rasmi keluar WHO selepas 80 tahun, henti semua pembiayaan
January 21, 2026, 1:27 pm
Pesawat Air Force One ke Davos dinaiki Trump terpaksa berpatah balik
January 20, 2026, 3:36 pm
Cuaca buruk, laluan sukar paksa pasukan SAR gantung mayat mangsa nahas ATR 42-500
January 19, 2026, 9:43 am
21 terkorban tren berkelajuan tinggi bertembung di Madrid
January 9, 2026, 10:22 pm
