Berita Dunia
Modi tegaskan India berdiri 'teguh' bersama Israel, perkukuh hubungan dua hala
BAITULMAQDIS 26 Feb - Perdana Menteri India, Narendra Modi menegaskan negaranya berdiri ‘teguh’ bersama Israel susulan serangan yang dilancarkan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Ketika berucap di Knesset semalam, Modi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan berkenaan.
“Saya membawa ucapan takziah yang mendalam daripada rakyat India untuk setiap nyawa yang terkorban dan untuk setiap keluarga yang dunianya hancur akibat serangan Hamas pada 7 Oktober.
“Kami merasai kesedihan anda, kami berkongsi dukacita anda. India berdiri bersama Israel dengan teguh dan penuh keyakinan pada masa ini dan seterusnya,” katanya.
Lawatan rasmi dua hari itu turut menyaksikan pertemuan Modi dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi memperdalam hubungan perdagangan dan pertahanan antara kedua-dua negara, meskipun mencetuskan kritikan dalam kalangan pihak tertentu di India.
Dalam ucapannya, Modi tidak secara khusus menyentuh angka korban rakyat Palestin di Gaza sepanjang konflik berlarutan antara Israel dan Hamas, namun menegaskan India menyokong segala usaha ke arah keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau turut menyatakan pertumbuhan ekonomi India serta kepimpinan Israel dalam inovasi teknologi sebagai ‘asas semula jadi’ untuk memperkukuh kerjasama strategik.
“Saya melihat banyak sinergi dalam bidang seperti teknologi kuantum, semikonduktor dan kecerdasan buatan,” katanya.
Sementara itu, Netanyahu menyifatkan sokongan India sebagai cerminan kefahaman terhadap peranan Israel dalam mempertahankan diri daripada ancaman keselamatan, selain menyatakan lawatan itu membuka ruang memperkukuh lagi hubungan dua hala.
Lawatan ini merupakan yang kedua dilakukan Modi ke Israel sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 2014.
Berita berkaitan
June 11, 2026, 10:47 am
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
June 10, 2026, 9:44 pm
Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW
June 10, 2026, 6:26 pm
Harga runcit petrol RON95, diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026
June 5, 2026, 2:48 pm
Brunei rombak kabinet, Putera Abdul Mateen dilantik Menteri Hal Ehwal Luar
June 4, 2026, 8:56 am
Korban wabak campak di Bangladesh cecah 601 nyawa, lebih 83,000 kes direkodkan
May 18, 2026, 5:19 pm
