Berita Berita
Tiga beranak maut: Kepala suami isteri putus, percikan darah di ruang tamu, polis siasat kes bunuh
SUNGAI PETANI 26 Mac – Tiga beranak ditemukan maut dalam keadaan tragis di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, di sini tengah malam tadi, dengan polis percaya kes berkenaan menjurus kepada pembunuhan.
Mayat pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, ditemukan di dapur rumah dalam keadaan tidak sempurna apabila kepala terpisah daripada badan serta dipercayai dipotong kepada beberapa bahagian sebelum ditutup dengan karpet dan kain.
Berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput serta berbau, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia lebih dua hari sebelum ditemui.
Sementara itu, mayat anak lelaki mereka berusia 29 tahun ditemui di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan dengan kesan kelar yang dalam pada leher dan dipercayai baru meninggal dunia ketika ditemukan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, kehilangan pasangan suami isteri itu disedari selepas hampir tiga hari gagal dihubungi.
Menurut beliau, penduduk yang curiga kemudian pergi ke rumah berkenaan sebelum terhidu bau busuk yang kuat dan membuat laporan polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Sepasukan polis bersama penduduk kemudian ke rumah tersebut dan mendapati ia dalam keadaan gelap serta berkunci selain bau busuk yang amat kuat.
“Anggota bertindak memecah masuk dan menemui mayat pasangan suami isteri di dapur dalam keadaan ditutup dengan karpet dan kain. Turut dikesan percikan darah di ruang tamu yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Merbok, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi mayat di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.
Menurutnya, ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal menjurus kepada perbuatan bunuh, selain terdapat cubaan melupuskan bukti apabila pelaku dipercayai membersihkan lokasi kejadian. Bagaimanapun, kita percaya kes ini telah berjaya diselesaikan kerana pelaku juga sudah meninggal dunia,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain beberapa senjata tajam termasuk gergaji turut dirampas berhampiran mayat lelaki berkenaan.
Difahamkan, pemuda itu merupakan anak kandung Suraya dan anak tiri Zikri serta pernah melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Pulau Pinang, namun tidak menamatkan pengajian dan dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental sejak 2018.
Menurut polis, rumah tersebut hanya dihuni tiga beranak itu, manakala seorang lagi anak lelaki kepada Zikri telah pulang beraya sebelum kembali ke Johor pada malam Isnin lalu.
Berita berkaitan
March 26, 2026, 4:18 pm
Victor Chin dedah bayaran RM9.5 juta adalah ‘yuran perkhidmatan’, bukan tutup kes
March 26, 2026, 3:43 pm
Agong nasihat rakyat waspada fenomena cuaca panas berpanjangan
March 26, 2026, 3:35 pm
Penghantar makanan dipenjara empat bulan selepas belasah isteri hamil
March 26, 2026, 2:43 pm
MATTA gesa subsidi diesel untuk bas pelancongan, elak industri terjejas
March 26, 2026, 2:07 pm
Masjid di Kelantan laksanakan solat sunat Istisqa susulan cuaca panas berpanjangan
March 26, 2026, 1:54 pm
Pasangan dihukum penjara setahun akibat perbuatan tidak senonoh di tanah perkuburan
March 26, 2026, 1:20 pm
Gadis 13 tahun hilang selepas selisih faham keluarga di Bandar Baru Ampang
March 26, 2026, 12:54 pm
Hannah Yeoh arah siasatan segera dakwaan ahli MPP minta wang perlindungan
March 26, 2026, 12:46 pm
