TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Victor Chin dedah bayaran RM9.5 juta adalah ‘yuran perkhidmatan’, bukan tutup kes

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 26 Mac – Ahli perniagaan, Victor Chin mendakwa bayaran sebanyak RM9.5 juta yang dikaitkan dengan kumpulan ‘mafia korporat’ bukan bertujuan menutup siasatan atau menyelesaikan kes dengan mana-mana agensi penguatkuasaan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bayaran itu merupakan ‘yuran perkhidmatan’ yang dibuat dalam keadaan terdesak bagi menghentikan tekanan serta permusuhan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Chin mendakwa beliau berdepan tekanan hebat daripada kumpulan terbabit yang didakwa memaksanya menyerahkan pegangan saham secara percuma.

“Letakkan diri anda di tempat saya. Saya berada di bawah tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan mafia korporat. Mereka menekan dan memaksa saya untuk menyerahkan saham saya kepada mereka secara percuma.

“Bagi mencapai tujuan ini, mereka menyasarkan orang tersayang saya, rakan niaga, syarikat, sahabat, malah individu yang hanya dianggap mempunyai kaitan dengan saya,” katanya.

Menurutnya, lebih 500 akaun milik individu yang dikaitkan dengannya didakwa dibekukan, sekali gus menyebabkan gangguan serius terhadap pembayaran gaji, pinjaman perumahan dan kenderaan.

“Semua individu dan syarikat yang terjejas berada dalam keadaan panik secara serentak dan mengalami tekanan kewangan serta mental yang serius,” katanya lagi.

Kelmarin, media melaporkan Chin memberi kata dua kepada seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak dinamakan supaya memulangkan semula wangnya sebelum 30 Mac ini, selepas didakwa gagal menyelesaikan isu yang dihadapinya.

Dalam dokumen setebal 40 muka surat, Chin mendakwa Ahli Parlimen berkenaan meminta bayaran RM10 juta secara tunai pada Oktober 2025 dengan janji menyelesaikan isu perundangan berkaitan dakwaan mafia korporat.

Beliau mendakwa telah membayar RM9.5 juta daripada jumlah tersebut, namun kini menuntut bayaran balik sepenuhnya kerana masalah berkenaan tidak diselesaikan.

Mengulas lanjut, Chin berkata beliau tidak mempunyai pilihan dan bertindak sedemikian demi melindungi individu di sekelilingnya daripada terus menjadi sasaran tekanan.

“Pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah satu reaksi untuk menghentikan tindakan melampau oleh kumpulan mafia korporat.

“Kekayaan terbesar dalam hidup bukanlah wang tetapi ketenangan fikiran. Saya sanggup melakukan apa saja demi ketenangan fikiran mereka di sekeliling saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berhubung kegiatan mafia korporat tersebut.

“Saya berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa berat sebelah, merangkumi semua pihak yang terbabit atau berkaitan, dan tidak terhad kepada saya semata-mata,” katanya.

 

 

+ - reset