TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan pertimbang WFH berperingkat untuk penjawat awam hadapi cabaran global

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Mac – Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan kaedah kerja lebih fleksibel termasuk bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam sebagai langkah menyesuaikan operasi perkhidmatan dengan situasi semasa.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam terus terjamin di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Selain sektor awam, beliau turut menggesa sektor swasta supaya mengadaptasi kaedah sama seperti yang telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.

"Penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah

"Saya percaya Insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan seperti mana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan terus mengekalkan disiplin kewangan serta mengelakkan pembaziran dan ketirisan.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal stabil walaupun berdepan cabaran global.

"Bagi pihak kerajaan, Insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, serta terkecuali kerana setelah melihat kemerosotan yang berlaku di dunia.

"Kita lihat Malaysia masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif seperti mana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini, masih ramai yang datang.

"Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman biar rakyat sama ada sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita dalam tiap ujian, cabaran dari Allah SWT dan keadaan yang berlaku di dunia masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita," katanya.

+ - reset