TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir 50,000 pili bomba sebenarnya rosak, JBPM bimbang jejas operasi kecemasan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 April - Tahap integriti aset pili bomba di seluruh negara kini membimbangkan apabila puluhan ribu unit dikesan mengalami kerosakan dan kegagalan fungsi sepanjang tahun lalu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan sebanyak 49,794 pili bomba atau kira-kira 13.7 peratus daripada 363,340 unit yang diperiksa didapati rosak dalam operasi pemeriksaan berkala.

Menurut JBPM, analisis terperinci mendapati punca utama kerosakan berpunca daripada kehilangan komponen logam penting.

"Statistik merekodkan 10,424 kes membabitkan kehilangan 'outlet pillar cap', 8,109 kes membabitkan ketiadaan penutup 'chamber' dan 3,359 kes membabitkan kerosakan fizikal serius seperti tiang pili patah atau rosak teruk.

"Ketiadaan komponen ini bukan sahaja mendedahkan sistem dalaman kepada risiko kemasukan bendasing dan kerosakan mekanikal, malah menjejaskan kelancaran penyambungan hos semasa tempoh kritikal atau golden time dalam operasi pemadaman," katanya.

Dalam pada itu, JBPM menegaskan perbuatan merosakkan atau mengganggu fungsi pili bomba bukan sekadar kesalahan kecil, sebaliknya boleh memberi kesan besar terhadap pengurusan insiden kebakaran.

"Apabila anggota tiba di lokasi dan mendapati pili bomba dihalang, ditimbus atau komponen kritikalnya hilang, pelan tindakan asal perlu dirombak serta-merta.

"Kelewatan ini memaksa pasukan bomba menggunakan alternatif seperti bekalan tangki jentera yang terhad atau teknik relay pumping yang menuntut tenaga kerja dan masa tambahan. Sebarang kelewatan dalam mengaktifkan sumber air berisiko menyebabkan kebakaran kecil berkembang menjadi insiden berskala besar serta mengancam keselamatan nyawa," katanya.

Sehubungan itu, JBPM mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan merosakkan atau menghalang akses kepada pili bomba merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

+ - reset