Berita Berita
Konflik Asia Barat: Malaysia bersedia hadapi kenaikan bahan api - Suruhanjaya Tenaga
PUTRAJAYA 1 April - Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos tenaga dalam tempoh terdekat susulan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga bahan api global.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh bagaimanapun berkata, kesan terhadap sistem tenaga negara ketika ini masih terkawal berikutan kebergantungan tinggi kepada sumber gas domestik.
Menurut beliau, kira-kira 80 peratus gas yang digunakan bagi penjanaan elektrik di Malaysia diperoleh daripada sumber tempatan, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung kepada turun naik harga di pasaran antarabangsa.
“Namun, kita masih terkesan kerana ia berkait dengan harga rujukan pasaran (MRP),” katanya dalam sesi soal jawab bersama media selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026, di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, peningkatan kos bahan api dijangka mula diterjemahkan dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).
“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan itu mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos," ujarnya.
Katanya, pelarasan melalui AFA dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus, manakala sebarang peningkatan melebihi paras itu memerlukan kelulusan kerajaan.
“Kos itu tetap kos, ia perlu dibayar tetapi bagaimana ia disalurkan bergantung kepada keputusan kerajaan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Siti Safinah berkata, kurang 20 peratus bekalan gas yang diimport turut menyumbang kepada pendedahan terhadap harga global, khususnya kontrak yang diindeks kepada pasaran minyak.
Tambahnya, perkembangan global turut menyaksikan peningkatan harga arang batu apabila negara-negara lain beralih kepada sumber tersebut berikutan kekangan bekalan gas.
Menurut beliau, Malaysia yang mengimport sepenuhnya arang batu bagi penjanaan elektrik tidak terkecuali daripada tekanan kenaikan harga tersebut.
"Seperti yang kita lihat dalam situasi krisis sebelum ini khususnya pada 2022 semasa krisis Ukraine–Rusia, apabila bekalan gas menjadi ketat secara global, dunia cenderung beralih semula kepada arang batu. Ini menyebabkan harga arang batu meningkat.
"Jadi di bahagian arang batu, kita juga mula melihat harga meningkat secara perlahan. Ia tidak melonjak, tidak meningkat secara mendadak, tetapi mula naik. Oleh itu, kita masih mempunyai pendedahan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pelarasan kos dijangka berlaku dalam tempoh terdekat apabila peningkatan harga bahan api mula diserap ke dalam sistem.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan terdapat kelewatan dalam pelarasan kos disebabkan faktor rantaian bekalan termasuk proses pembelian dan pembayaran.
"Walaupun kita membuat pelarasan secara bulanan sekarang, masih terdapat kesan kelewatan. Ini semata-mata disebabkan cara rantaian bekalan berfungsi.
"Kerana anda membeli bahan api, anda membuat invois, anda mengutip bayaran dan sebagainya. Jadi akan sentiasa ada kelewatan dari segi bagaimana kos sebenar direfleksikan dalam kerangka pelarasan bahan api.
"Di sinilah bagi memastikan ia lebih telus serta membantu industri merancang dengan lebih baik, pihak pembeli tunggal menerbitkan unjuran bahan api secara suku tahunan iaitu unjuran tiga bulan ke hadapan supaya perancangan boleh dibuat lebih awal dan sudah tentu unjuran ini boleh berubah," katanya.
Berita berkaitan
April 1, 2026, 3:13 pm
Juruteknik dijel lima tahun tayang 'anu' kepada pelajar sekolah
April 1, 2026, 2:45 pm
Hampir 50,000 pili bomba sebenarnya rosak, JBPM bimbang jejas operasi kecemasan
April 1, 2026, 2:15 pm
Keluarga mangsa pemandu mabuk bakal tuntut pampasan RM1 juta
April 1, 2026, 11:21 am
Pemandu mabuk berdepan hukuman mati didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang
April 1, 2026, 10:48 am
Ibu tunggal, dua anak ditahan subahat 'simpan' kekasih dalam rumah
April 1, 2026, 10:20 am
“Saya nak nyawa dibalas nyawa” – Isteri mangsa maut dirempuh pemandu mabuk tuntut keadilan
April 1, 2026, 10:09 am
MCMC siasat 3 individu sebar berita palsu tarif elektrik
April 1, 2026, 10:01 am
