TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke arah siasatan tergempar isu BHS, MAHB bakal berdepan tindakan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan satu mesyuarat tergempar diadakan pagi esok bagi melaksanakan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) susulan kegagalan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Terminal 1 KLIA yang menyebabkan kelewatan tuntutan bagasi sehingga empat jam semalam.

Beliau menegaskan bahawa meskipun sistem teknikal tersebut telah dipulihkan pada malam yang sama, isu berkenaan tidak dianggap selesai kerana tahap kebolehpercayaan perkhidmatan di pintu masuk utama negara telah gagal memenuhi hak penumpang yang sepatutnya.

Sehubungan itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas insiden tersebut manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarahkan menjalankan siasatan terperinci termasuk menilai keperluan mengenakan tindakan punitif terhadap pengendali lapangan terbang berkenaan.

Tumpuan mesyuarat awal pagi esok akan menjurus kepada penilaian masa tindak balas agensi, keberkesanan komunikasi kepada penumpang yang terjejas serta protokol pelan kontigensi bagi memastikan kelemahan berulang seperti ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Loke turut menekankan bahawa aspirasi untuk menjadikan KLIA antara lapangan terbang terbaik dunia tidak akan tercapai tanpa budaya akauntabiliti dan tanggungjawab yang mendalam dalam organisasi yang menguruskan prasarana kritikal negara tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai keluhan penumpang yang terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan beg mereka sebelum pihak pengurusan KLIA mengesahkan gangguan itu berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menjejaskan sistem pengendalian bagasi.

Sebagai langkah awal mengurangkan kesesakan di balai ketibaan semalam, pihak KLIA telah membenarkan penumpang pulang terlebih dahulu dan menuntut bagasi masing-masing kemudian selain menyalurkan maklumat terkini secara berkala di lokasi kejadian.

+ - reset