TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tegur merokok punca pergaduhan di restoran nasi kandar Bandar Rimbayu

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT 19 April – Satu insiden pergaduhan melibatkan dua pihak di sebuah restoran nasi kandar di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang pada 15 April lalu disahkan berpunca daripada tindakan salah seorang individu yang menegur pelanggan lain kerana merokok di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan bahawa perselisihan faham itu tercetus selepas teguran tersebut tidak diterima baik, sehingga mengakibatkan keadaan menjadi tegang dan berakhir dengan aksi saling memukul antara kedua-dua belah pihak.

Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian itu turut tular menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 47 saat yang memaparkan kekecohan di dalam premis berkenaan sehingga mengundang kebimbangan orang awam yang berada di lokasi.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan gaduh-gempar yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak polis kini sedang giat mengesan kesemua individu yang terlibat dalam klip video tular tersebut bagi membantu siasatan lanjut dan memastikan tindakan undang-undang sewajarnya diambil terhadap mereka yang mencetuskan provokasi serta keganasan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi memudahkan proses siasatan dijalankan secara menyeluruh.

+ - reset