Berita Dunia
Singapura laksana hukuman rotan terhadap pembuli di sekolah
SINGAPURA 7 Mei – Kerajaan Singapura memperkenalkan garis panduan baharu yang membolehkan pelajar lelaki terlibat dalam kegiatan buli termasuk buli siber dikenakan hukuman rotan sebagai langkah terakhir bagi menangani salah laku disiplin di sekolah.
Di bawah peraturan baharu yang dibincangkan di Parlimen semalam, pelajar yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman rotan sehingga tiga kali bergantung kepada tahap keseriusan perbuatan dilakukan.
Langkah tersebut bagaimanapun mendapat tentangan daripada kumpulan antarabangsa seperti Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menolak penggunaan hukuman rotan terhadap kanak-kanak.
Menurut pertubuhan itu, hukuman sedemikian boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak selain berpotensi meningkatkan masalah tingkah laku dalam jangka panjang.
Menteri Pendidikan, Desmond Lee memberitahu ahli Parlimen bahawa hukuman rotan hanya akan dikenakan jika semua langkah lain tidak mencukupi, setelah mengambil kira tahap keseriusan salah laku.
“Ia mengikuti protokol ketat untuk memastikan keselamatan pelajar. Contohnya, hukuman rotan mesti diluluskan oleh pengetua dan hanya diberikan oleh guru yang diberi kuasa,” katanya.
“Sekolah akan mempertimbangkan faktor seperti kematangan pelajar dan sama ada hukuman rotan akan membantu pelajar belajar daripada kesilapannya serta memahami tahap keseriusan perlakuannya,” tambah Desmond.
Menurut beliau, hukuman rotan hanya akan dilaksanakan terhadap pelajar lelaki di peringkat sekolah rendah atas berusia antara sembilan hingga 12 tahun dan ke atas, selaras dengan kod prosedur jenayah negara yang melarang hukuman rotan terhadap pelajar perempuan.
“Selepas hukuman rotan dikenakan, sekolah akan memantau kesejahteraan dan kemajuan pelajar, termasuk menyediakan kaunseling,” kata Desmond.
Bagi pelajar perempuan pula, mereka akan dikenakan tindakan disiplin lain seperti tahanan, penggantungan sekolah, pelarasan gred tingkah laku serta hukuman lain yang ditetapkan pihak sekolah. – AGENSI
Berita berkaitan
August 25, 2026, 12:56 pm
Thailand perketat penguatkuasaan trafik termasuk dari Malaysia
August 25, 2026, 12:40 pm
Pattani bergegar lagi, polis tahan dua suspek
August 24, 2026, 8:33 pm
Spider-Man 'muay thai' individu anti orang islam
August 24, 2026, 4:50 pm
Selatan Thailand terus bergolak, lima lagi siri letupan bom gegarkan Narathiwat dan Pattani
August 21, 2026, 10:56 am
Rumah Putih dakwa Malaysia, Indonesia antara puluhan negara bantu China elak tarif AS
August 15, 2026, 11:05 am
Trump dakwa akan isytihar Selat Hormuz sebagai wilayah AS
August 13, 2026, 12:55 pm
Belayar dari Port Klang, kapal kontena Nawata Bhum rempuh tebing sungai di India
August 12, 2026, 8:12 pm
Rak jemuran jatuh dari langit hempas warga emas, penunggang motosikal
August 12, 2026, 4:14 pm
Pemandu muslim maut lepas diserang orang ramai di India
August 11, 2026, 9:45 am
