TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi

By
|
Kongsi
image

 

BEKASI 28 April - Sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan maut manakala puluhan lagi cedera selepas dua tren bertembung dalam satu nahas di luar Jakarta awal pagi ini, dengan operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Jurucakap syarikat kereta api milik kerajaan, PT Kereta Api Indonesia (KAI), Anna Purba berkata, tujuh mangsa disahkan maut manakala 81 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan dua mangsa yang masih hidup tetapi terperangkap dalam runtuhan gerabak.

Seorang mangsa terselamat, Sausan Sarifah, 29, berkata beliau menyangka tidak akan selamat selepas tren komuter yang dinaikinya dirempuh tren jarak jauh.

“Saya fikir saya akan mati.”

Beliau berkata demikian kepada AFP ketika menerima rawatan di Hospital RSUD Bekasi akibat patah tangan dan luka dalam di paha.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika tren komuter berhenti di Stesen Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer dari Jakarta, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Ia berlaku terlalu pantas, dalam sekelip mata,” katanya.

“Ada dua pengumuman dalam tren komuter. Semua orang bersedia untuk turun, kemudian tiba-tiba kedengaran bunyi lokomotif yang sangat kuat,” katanya.

“Tiada masa untuk keluar, semua orang bertindih dalam tren. Saya tidak tahu keadaan orang di bawah saya.”

Beliau turut berkata bimbang akan maut akibat sesak nafas dalam keadaan itu, selain risau ada mangsa yang terperangkap tidak terselamat.

“Syukur saya berada di bahagian atas, jadi saya dapat dikeluarkan dengan cepat,” katanya.

Jurucakap pengendali tren, Franoto Wibowo berkata, tren jarak jauh berkenaan dipercayai melanggar sebuah teksi di lintasan sebidang, menyebabkan tren komuter berhenti di atas landasan sebelum dirempuh.

Suasana di lokasi kejadian dilaporkan kelam-kabut dengan petugas penyelamat meminta bekalan oksigen ketika ambulans beratur panjang sambil lampu kecemasan berkelip.

Wartawan AFP di lokasi melihat mangsa dikeluarkan dari gerabak dalam keadaan cedera sebelum dibawa ke ambulans, manakala orang awam menyaksikan kejadian itu dalam keadaan terkejut.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad berkata jumlah korban dijangka meningkat berdasarkan operasi menyelamat yang masih berjalan.

“Berdasarkan proses evakuasi yang masih berlangsung, kemungkinan jumlah mangsa terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, pihak KAI memaklumkan semua kira-kira 240 penumpang tren jarak jauh telah berjaya dipindahkan dengan selamat.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, tren jarak jauh itu melanggar gerabak terakhir khas wanita pada tren komuter berkenaan.

Agensi mencari dan menyelamat Jakarta memaklumkan beberapa gerabak mengalami kerosakan teruk akibat impak perlanggaran, dengan sebahagian mangsa terperangkap dalam struktur besi yang remuk.

“Insiden ini menyebabkan beberapa penumpang cedera dan ada yang terperangkap akibat impak kuat,” menurut kenyataan agensi itu.

Operasi menyelamat turut melibatkan tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat serta Palang Merah Indonesia.

Seorang ahli keluarga mangsa, Eva Chairista, 39, berkata beliau bergegas ke hospital selepas dimaklumkan kakak iparnya, Fira, 27, turut cedera dalam kejadian itu.

“Doktor meminta kami bersabar kerana ramai lagi pesakit yang lebih kritikal,” katanya.

Insiden ini merupakan antara kemalangan rel terbaharu di Indonesia selepas kejadian pada Januari 2024 di Jawa Barat yang mengorbankan empat kakitangan tren dan mencederakan kira-kira 20 orang. – AFP

+ - reset