TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

India pertimbang guna buaya, ular untuk 'kawal sempadan'

By
|
Kongsi
image

NEW DELHI 6 Mei – India dilapor mempertimbangkan penggunaan haiwan pemangsa seperti buaya dan ular berbisa sebagai penghalang semula jadi di kawasan sempadan dengan Bangladesh, menurut arahan dalaman Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang kini sedang menilai kebolehlaksanaan langkah tersebut.

Pendekatan kontroversi itu difokuskan di kawasan sungai dan paya yang sukar dipasang pagar fizikal, khususnya di sepanjang sempadan kira-kira 4,096 kilometer yang merentasi beberapa negeri termasuk Barat Bengal, Assam, Meghalaya, Tripura dan Mizoram.

Sebahagian besar kawasan tersebut terdiri daripada sungai, tanah lembap serta penempatan penduduk yang menjadikan pembinaan pagar tradisional hampir mustahil.

Menurut laporan, BSF telah mengeluarkan arahan dalaman pada 26 Mac untuk mengkaji kebolehlaksanaan penggunaan reptilia di kawasan jurang sungai berisiko tinggi sebagai langkah mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan tanpa dokumen.

Cadangan itu mencetuskan perdebatan hangat di India, khususnya dalam kalangan aktivis hak asasi manusia dan pakar alam sekitar yang menyifatkannya sebagai langkah berbahaya, tidak beretika dan berpotensi mencetuskan risiko besar kepada manusia serta ekosistem.

Cadangan tidak munasabah

Seorang penyelidik isu sempadan, Angshuman Choudhury berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak praktikal, malah berpotensi membahayakan semua pihak tanpa mengira kewarganegaraan atau status.

“Apabila haiwan berbisa dilepaskan di kawasan terbuka, ia tidak akan dapat membezakan antara individu yang dianggap migran atau penduduk tempatan. Ini membuka risiko besar terhadap keselamatan manusia,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pendekatan tersebut sebagai satu bentuk 'keganasan biopolitik', iaitu penggunaan elemen alam semula jadi sebagai alat kawalan manusia yang boleh membawa implikasi serius terhadap hak asasi.

Pakar alam sekitar turut memberi amaran bahawa cadangan itu boleh memberi kesan buruk terhadap keseimbangan ekosistem di kawasan sempadan.

Menurut pakar Wildlife Trust of India, kebanyakan spesies buaya tidak sememangnya wujud di kawasan sungai sempadan India-Bangladesh, kecuali di kawasan tertentu seperti Sundarbans yang terletak jauh dari zon sempadan utama.

Pemindahan spesies ke kawasan baharu berisiko menyebabkan haiwan tersebut tidak mampu bertahan.

Selain itu, ular berbisa yang dilepaskan di kawasan paya dan sungai berpotensi merebak ke kawasan penempatan penduduk, terutama ketika musim banjir, sekali gus meningkatkan risiko kepada komuniti nelayan dan petani tempatan.

Pakar turut menegaskan bahawa sebarang gangguan terhadap habitat semula jadi boleh merosakkan rantaian ekosistem dan memberi kesan jangka panjang kepada biodiversiti kawasan tersebut.

Latar belakang isu sempadan

Kerajaan India sebelum ini menyatakan bahawa usaha memagar keseluruhan sempadan dengan Bangladesh berdepan pelbagai cabaran termasuk bentuk muka bumi yang kompleks, isu pengambilan tanah serta tentangan penduduk tempatan.

Sebahagian kawasan sempadan masih belum dapat dipagar sepenuhnya kerana keadaan geografi seperti sungai besar, kawasan paya serta penempatan padat di kedua-dua belah sempadan.

Dalam pada itu, isu migrasi tanpa dokumen sering menjadi perdebatan politik di India, dengan kerajaan berhujah bahawa ia memberi kesan terhadap keselamatan negara serta perubahan demografi.

Namun, pengkritik menyatakan pendekatan yang digunakan sering menimbulkan kebimbangan terhadap layanan tidak adil kepada komuniti minoriti. – Agensi

+ - reset