TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua rakan sekerja maut kereta terbabas, terbakar di Jalan Sungai Besi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Mei – Dua rakan sekerja maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbakar dalam satu kemalangan tragis di Jalan Sungai Besi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.01 pagi itu, pemandu kereta jenis Honda City Hatchback berusia 29 tahun dilaporkan rentung, manakala seorang penumpang wanita berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang menuju ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam anjuran sebuah syarikat perbankan antarabangsa.

Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit gagal dikawal ketika melalui satu selekoh di laluan berkenaan sebelum merempuh tembok tiang di sebelah kiri jalan sehingga mencetuskan kebakaran marak.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran serta membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan usaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.

+ - reset