TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PH Johor sedia gerak solo selepas isyarat jelas BN tutup pintu kerjasama

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 17 Mei – Pakatan Harapan (PH) Johor menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai isyarat jelas bahawa ruang kerjasama politik antara kedua-dua gabungan tersebut di peringkat negeri kini sudah berakhir.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pengumuman rasmi daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai pendirian bergerak solo itu membuktikan BN tidak lagi berminat untuk meneruskan formula Kerajaan Perpaduan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau mendedahkan bahawa pihak PH sebelum ini pernah cuba mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status kerjasama berkenaan menerusi Naib Presiden Amanah Johor, Suhaizan Kaiat, namun pengumuman solo oleh BN sehari sebelum konvensyen PH berlangsung telah menjawab segala persoalan tersebut.

Mengulas mengenai hala tuju PH, Aminolhuda menegaskan gabungan itu tidak mahu bersikap terlalu menagih komitmen daripada BN sehingga diibaratkan seperti peribahasa 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.

PH Johor mengambil sikap menghormati pendirian muttamad tersebut dan menyatakan bahawa seluruh jentera mereka sebenarnya telah menjangka perkara itu lebih awal serta kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk merangka strategi berasingan.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa ketegangan politik di peringkat domestik Johor itu tidak akan menjejaskan keutuhan serta hubungan baik antara PH dan BN di peringkat pentadbiran Persekutuan yang kekal berjalan lancar seperti mana dipersetujui pimpinan tertinggi.

Spekulasi mengenai tarikh PRN Johor bertiup kencang ekoran kehangatan momentum politik pasca-Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 baru-baru ini, di mana pada edisi PRN 2022 lalu, BN menguasai landskap politik negeri selepas berjaya memenangi majoriti besar dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

+ - reset