TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guan Eng gesa kerajaan batal syarat ekuiti Bumiputera 50 peratus dalam pelupusan hartanah GLC

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Mei – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Penasihat Democratic Action Party (DAP) itu berkata, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus merupakan perubahan dasar yang perlu diteliti semula.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membatalkan peningkatan syarat berkenaan kerana dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.

“Dasar-dasar dalam Garis Panduan Pemerolehan Hartanah (PAG) ini telah dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan terdahulu tanpa sebarang pindaan.

“Peningkatan pemilikan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus oleh kerajaan semasa bukan sahaja menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong PH.

“Tetapi juga menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan ini mungkin akan melakukan perkara yang sama terhadap instrumen dasar dan pengaturan pentadbiran lain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Guan Eng pada masa sama menegaskan bahawa pendekatan berasaskan pasaran perlu diberikan perhatian supaya urus niaga komersial tidak terlalu dibebankan dengan syarat yang terlalu ketat hingga boleh memberi implikasi terhadap kelancaran transaksi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa perubahan dasar yang dibuat secara mendadak tanpa kajian menyeluruh berpotensi mewujudkan persepsi tidak konsisten terhadap dasar ekonomi negara.

Menurutnya, keadaan itu boleh memberi kesan kepada keyakinan pihak berkepentingan serta sentimen pelaburan pada masa depan.

+ - reset