Berita Berita
Wanita sesak nafas ketika daki Gunung Irau, bomba terpaksa papah turun tiga kilometer
IPOH 25 Mei - Seorang wanita terpaksa dipapah turun sejauh kira-kira tiga kilometer selepas mengalami sesak nafas ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Irau pada malam Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.32 malam.
Menurut beliau, mangsa berusia 21 tahun dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika mendaki gunung berkenaan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bersama bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Brinchang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di Agroto Business, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 9.15 malam sebelum beberapa malim gunung yang keluar lebih awal menunjukkan arah kepada pasukan penyelamat menuju lokasi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, lokasi mangsa dianggarkan sejauh enam kilometer dari pondok Polis Bantuan, namun kenderaan hanya boleh memasuki kawasan sejauh tiga kilometer sebelum pasukan perlu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki.
Katanya, Ketua Operasi, Mohammad Nafis Nazmi Abdul Hadi bersama tiga anggota bomba, dua malim gunung, seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta seorang orang awam memasuki kawasan hutan bagi memberikan bantuan.
“Setibanya di lokasi mangsa, pasukan EMRS menjalankan rawatan awal menggunakan konsep SAVER sebelum mangsa diselimutkan dengan kain tebal bagi menstabilkan keadaannya.
“Mangsa kemudian dipapah turun dari gunung sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Menurut beliau, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 11.10 malam.
Operasi yang melibatkan keseluruhan 16 anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam Sabtu.
Berita berkaitan
May 25, 2026, 12:42 pm
Maha Berjaya raih sambutan luar biasa, lebih 1,000 kambing qurban terjual tahun ini
May 25, 2026, 11:31 am
Pemandu bas ekspres ditahan guna telefon bimbit hasil penyamaran JPJ Johor
May 25, 2026, 11:27 am
Jemaah haji wanita dari Johor meninggal dunia di Makkah akibat pendarahan otak
May 25, 2026, 11:04 am
Aidiladha: Bekalan lembu, kerbau dan kambing lebih daripada mencukupi untuk ibadah korban
May 25, 2026, 10:46 am
Padah pandu melulu turun bukit, tiga individu parah dalam nahas di Lebuhraya SILK
May 25, 2026, 10:29 am
PGA tumpas cubaan seludup 90 lembu, 100 kambing menjelang Aidiladha
May 25, 2026, 10:21 am
