Berita Berita
'Kanselor mesti masuk campur segera' - KPM ambil langkah drastik tangani insiden pelajar jatuh bangunan sekolah
JOHOR BAHRU 23 Jun - Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh langkah keselamatan di sekolah dan memberi tumpuan terhadap aspek kesihatan mental pelajar susulan beberapa insiden membabitkan pelajar yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian telah mengambil pelbagai langkah termasuk melaksanakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat, Polisi Perlindungan Murid serta intervensi melalui saringan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
“Fakta kes berbeza untuk setiap kes yang berlaku. Tetapi, kita telah mengambil langkah drastik dan melihat keseluruhan isu ini.
“Garis panduan keselamatan sekolah yang kita perkenalkan mesti, wajib dan tanpa kompromi perlu dibawa serta dilaksanakan oleh semua pentadbir sekolah.
“Isu kesihatan mental juga menjadi sebahagian besar daripada keutamaan kita ketika ini. Pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah juga kita berikan perhatian dan jika ada saja tanda-tanda ini (masalah psikologi), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot MADANI dan Program Kalvi MADANI Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Jalan Yahya Awal, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, semua pentadbir sekolah perlu meningkatkan tahap keselamatan di institusi pendidikan masing-masing bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.
“Kita juga komited untuk memastikan isu-isu yang terkait dengan keselamatan ini terus diberikan keutamaan.
“Jadi, langkah-langkah itu telah kita peringatkan dari semasa ke semasa dan kita harap ini juga dipantau oleh semua pihak dan komuniti yang terkait dengan sekolah supaya dapat mengingatkan antara satu sama lain dan pelajar juga mesti diingatkan setiap hari tentang keselamatan sekolah ini,” katanya.
Beliau turut menggesa ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam memantau keadaan emosi dan mental anak-anak serta bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan sebarang masalah dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Menurutnya, usaha menangani isu kesihatan mental memerlukan sokongan semua pihak agar kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Berita berkaitan
June 23, 2026, 2:18 pm
Mufti Kelantan tegur peniaga bertudung peraga pakaian dalam di media sosial
June 23, 2026, 2:08 pm
Nahas lori, kereta terbakar cetus kesesakan teruk di Lebuhraya PLUS dekat Kulai
June 23, 2026, 2:01 pm
Rain Rave Water Music Festival 2026 jana RM392.33 juta, tarik 415,000 pengunjung
June 23, 2026, 1:37 pm
'Madani Mart bukan inisiatif kerajaan' – Armizan
June 23, 2026, 1:14 pm
Anwar arah jentera PH kempen berhemah, pilih wakil rakyat pentingkan Johor
June 23, 2026, 1:09 pm
Putus jari telunjuk gara-gara didakwa curi telefon bimbit
June 23, 2026, 11:49 am
Mahkamah sahkan Aslam, Marissa bukan lagi suami isteri
June 23, 2026, 11:25 am
Bangkai tikus sebelah peti ais, restoran tomyam di Bemban diarah tutup
June 23, 2026, 11:13 am
