TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rain Rave Water Music Festival 2026 jana RM392.33 juta, tarik 415,000 pengunjung

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun – Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang digerakkan di Bukit Bintang pada Mei lalu membuktikan impak besarnya apabila berjaya menarik kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung sekali gus menjana pulangan RM392.33 juta kepada status ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan bahawa unjuran penilaian impak ekonomi tersebut dibuat bersandarkan data komprehensif serta metodologi rasmi Tourism Malaysia menerusi Departing Visitors Survey (DVS) dengan sokongan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pesta air berskala besar yang menelan kos penganjuran sebanyak RM15 juta itu turut melibatkan pemetaan pelaksanaan di enam destinasi pelancongan lain merangkumi Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Labuan, dan Langkawi.

"Berdasarkan maklum balas daripada Persatuan Pelancongan BBKLCC, program ini membawa keuntungan kepada pusat beli-belah seperti Lot 10 yang merekodkan peningkatan 40 peratus pengunjung dan 45 peratus jualan, serta Sungei Wang Plaza yang mencatatkan pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus berserta lonjakan jualan.

"Segmen makanan dan minuman (F&B) di Pavilion Hotel juga merekodkan peningkatan pelanggan walk-in dan purata jualan meningkat sebanyak 11 peratus. Sokongan ini bukan sekadar penajaan, malah mencerminkan keprihatinan dan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap potensi industri pelancongan negara," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai sumbangan festival di bawah Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu dalam memperkukuh pelancongan berasaskan acara serta kaedah mengekalkan keseimbangan antara elemen global dan lokal.

Sebelum ini, penganjuran festival muzik air tersebut sempat dihimpit kontroversi hangat termasuk berdepan desakan pembatalan daripada pihak tertentu yang mendakwa ia boleh merosakkan nilai akhlak serta tidak selari dengan norma kebudayaan masyarakat tempatan.

Bagaimanapun, King Sing memberi jaminan bahawa pihak kementerian sentiasa komited memastikan aspek kebudayaan tempatan tidak tenggelam dengan asimilasi elemen hiburan moden bertaraf antarabangsa.

Sebagai bukti, pengisian festival tersebut tetap diselitkan dengan elemen pengenalan identiti nasional seperti slot persembahan muzik tradisional, demonstrasi permainan rakyat, hidangan makanan warisan, serta penglibatan aktif penggiat seni tempatan.

Melihat kepada kejayaan impak ekonomi serta maklum balas yang menggalakkan daripada pemain industri, kementeriannya kini sedia mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan festival ini sebagai salah satu acara tahunan rasmi negara pada masa hadapan.

+ - reset