TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Madani Mart bukan inisiatif kerajaan' – Armizan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan MADANI Mart bukan inisiatif kerajaan, sebaliknya merupakan jenama perniagaan peruncitan swasta yang beroperasi menerusi konsep pelesenan di bawah Yayasan MADANI.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengoperasian MADANI Mart dikendalikan melalui hubungan perniagaan antara Yayasan MADANI sebagai pemilik jenama dan entiti perniagaan yang dilantik sebagai pengendali.

Menurut beliau, status operasi, jumlah cawangan, bilangan permohonan serta jumlah usahawan yang terlibat tidak berada di bawah rekod rasmi kementerian.

“MADANI Mart beroperasi melalui hubungan perniagaan antara Yayasan MADANI sebagai pemilik jenama dan entiti perniagaan yang dilantik sebagai pengendali.

“Justeru, kementerian tidak menyimpan data rasmi khusus berkaitan jumlah cawangan yang beroperasi, jumlah permohonan yang diterima mahupun bilangan usahawan yang terlibat,” katanya pada sesi Jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai status terkini pelaksanaan MADANI Mart.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, meskipun KPDN tidak terlibat secara langsung dalam pengoperasian rangkaian peruncitan itu, terdapat beberapa aspek yang berada di bawah bidang kuasa kementerian.

“Pertama, Yayasan MADANI didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai syarikat berhad menurut jaminan.

“Kedua, mana-mana premis yang menjalankan aktiviti melibatkan barang kawalan berjadual diwajibkan mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan rekod KPDN, setakat ini hanya dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas nama operator masing-masing.

+ - reset