TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

"Trauma diekori sejak April, siap hidu kasut" – Siswi universiti ketakutan dihendap pelajar lelaki di Seksyen 7

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 13 Julai – Tindakan luar tabii seorang lelaki yang menceroboh dan dikesan mencuri serta menghidu kasut milik seorang wanita di sebuah pangsapuri di Seksyen 7 di sini, akhirnya membawa padah apabila dia berjaya dicekup pihak polis malam tadi.

Kejadian yang mencetuskan ketakutan itu mula mendapat perhatian ramai selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi jelik lelaki berkenaan tular di platform media sosial Threads.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Bin Hj Samah berkata, pihak polis bertindak segera selepas menerima laporan rasmi daripada mangsa, seorang pelajar universiti awam berusia 22 tahun, pada petang semalam.

Menerusi keterangan mangsa, dia mendedahkan hidupnya diselubungi ketakutan dan trauma yang amat mendalam apabila diganggu serta diekori oleh lelaki yang sama secara berulang kali sejak bulan April lalu, sama ada ketika berada di tempat pengajian mahupun di kawasan kediamannya sendiri.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menahan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 20-an di sekitar kawasan Seksyen 7, kira-kira jam 8.30 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek juga merupakan seorang pelajar universiti awam. Semakan lanjut menunjukkan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencingnya juga disahkan negatif daripada pengaruh dadah. Permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sarudin menegaskan kes kini sedang disiasat dengan serius di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap (stalking). Jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sabryna Binti Taha di talian 014-5130450.

+ - reset