TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

"Dia kawan saya, nanti saya jumpa" – Ahmad Zahid ulas isu Nga Kor Ming mahu letak jawatan jika BN menang besar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan mengadakan pertemuan peribadi dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kontroversi kenyataan mahu meletak jawatan susulan kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang berada di dalam blok kerajaan yang sama, beliau memilih untuk mengendalikan isu tersebut secara harmoni atas semangat setiakawan Kerajaan MADANI.

"Kenyataan sedemikian seharusnya biarlah berpatutan kerana kita setiap minggu bertemu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Jika kenyataan itu dikeluarkan sebagai pembangkang, mungkin kita boleh anggap kenyataan seperti itu.

"Tetapi jika kita sesama dalam kerajaan, tak perlulah buat kenyataan macam itu. Tak apalah, saya akan jumpa dia. Dia kawan saya juga," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP mencetuskan polemik politik apabila dilaporkan berkata, beliau sedia menjadi menteri pertama yang meletakkan jawatan sekiranya UMNO mencatatkan kemenangan luar biasa pada PRN Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Bagaimanapun, keputusan tidak rasmi PRN Johor ke-16 kelmarin menyaksikan BN menyapu bersih majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Mengulas mengenai impak keputusan PRN tersebut terhadap keutuhan hubungan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid menegaskan bahawa dinamika kerjasama antara parti ketika ini masih berada pada tahap yang sangat kondusif dan profesional.

"Kita bergerak sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan dan secara profesional. Itu menjadi harapan kita, kerana kita sudah berjanji bahawa untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini sehingga akhir penggal. Inilah yang kami praktikkan.

"Soal persepsi masyarakat di luar itu, satu perkara yang lain. Tapi realitinya, kita berada di dalam keadaan yang sangat-sangat baik," jelas beliau bagi menepis dakwaan kononnya kestabilan kerajaan pusat mula goyah pasca-pilihan raya negeri tersebut.

+ - reset