TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

"Pas binaan tapi kerja kedai kain" – Seramai 503 warga asing ditahan JIM dalam serbuan Op Mega di 16 lokasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Julai – Tindakan segelintir warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan kerja serta dikesan bekerja di sektor yang berbeza membawa padah apabila mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran, Op Mega yang digerakkan serentak di 16 lokasi seluruh negara sejak semalam.

Operasi bersepadu berskala besar yang bermula jam 11 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 876 pegawai daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), KPDN, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, fokus utama serbuan adalah untuk menggempur premis perniagaan yang disyaki tegar menggaji pekerja asing secara haram atau menyalahgunakan pas dokumen mereka.

"Secara keseluruhan, seramai 2,260 individu termasuk majikan telah diperiksa di lapangan. Daripada jumlah itu, seramai 503 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Pihak kami turut memanggil seramai 120 individu yang terdiri daripada penjaga, warganegara Malaysia, atau majikan untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas menyertai serbuan di lubuk perniagaan Jalan Kenanga, di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati antara kesalahan paling kritikal dan kerap dikesan adalah isu tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta pelanggaran syarat pas yang ketara.

"Ada dalam kalangan mereka yang memegang pas sektor pembinaan, namun apabila diperiksa, mereka dikesan bekerja di premis lain seperti kedai kain dan kedai pakaian," jelas beliau mengenai taktik salah guna pas berkenaan.

Selain itu, Zakaria mendedahkan terdapat juga beberapa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang turut ditahan bagi membolehkan pihak jabatan membuat semakan teliti mengenai ketulenan dokumen yang dibawa.

"Jika kad itu disahkan tulen selepas semakan, tindakan susulan akan diambil sama ada membebaskan mereka semula atau menyerahkan kes tersebut kepada pihak United Nations (UN)," tambahnya lagi.

Menegaskan komitmen agensi tersebut, Zakaria memberi amaran bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiat operasi di kawasan tumpuan (hotspot) warga asing dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang negara demi mengaut keuntungan peribadi.

+ - reset