TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

9 kontinjen TVET Malaysia bidik emas pertama di WorldSkills Shanghai 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Impian Malaysia untuk mencipta sejarah baharu di pentas kemahiran dunia digalas oleh barisan anak muda TVET yang bakal berentap di WorldSkills Shanghai 2026, dengan sasaran membawa pulang pingat emas pertama negara dalam pertandingan berprestij antarabangsa itu. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kekayaan sumber atau kekuatan ekonomi, tetapi dibina melalui manusia yang memiliki ilmu, kemahiran, disiplin, kreativiti dan keberanian untuk berinovasi. 

Menurut beliau, kejayaan negara seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan membuktikan bahawa pelaburan terhadap bakat, kemahiran serta inovasi generasi muda menjadi asas kepada pembangunan negara maju. 

“Dunia mungkin melihat Malaysia sebagai negara yang sedang membina masa depan berasaskan kemahiran, teknologi dan inovasi. 

"Tetapi melalui kejayaan peserta ini, dunia akan melihat bahawa masa depan itu sudah pun bermula,” katanya. 

Kontinjen TVET@KKDW kali ini menjadi simbol bahawa bakat anak tempatan mampu bersaing di peringkat global. 

Seramai 22 peserta Malaysia akan membawa cabaran negara dalam WorldSkills Shanghai 2026, termasuk sembilan daripada institusi TVET di bawah KKDW iaitu TVETMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA. 

Menurut Zahid, kejayaan TVET@KKDW bukan sekadar diukur melalui jumlah institusi atau kursus yang ditawarkan, tetapi apabila anak muda yang dahulu mungkin terbatas dari segi peluang dan geografi mampu berdiri di pentas dunia dengan kemahiran, keyakinan serta maruah diri.

WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 27 September 2026 di Shanghai, Republik Rakyat China merupakan edisi ke-48 pertandingan tersebut dan menjadi penyertaan Malaysia kali ke-17 sejak penglibatan pertama negara pada 1993. 

Malaysia sebelum ini telah mencatat beberapa pingat gangsa dalam WorldSkills, namun masih belum pernah membawa pulang pingat emas. 

Kontinjen TVET@KKDW kali ini akan bertanding dalam sembilan bidang utama termasuk Fashion Technology, Car Painting, Electronics, Cyber Security, Rail Vehicle Technology, Cabinet Making dan banyak lagi dengan sokongan lapan jurulatih serta tujuh pakar negara.

Majlis pelepasan turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen sebagai simbol amanah negara, selain demonstrasi robot humanoid yang melambangkan perkembangan teknologi pintar dalam ekosistem TVET Malaysia. 

Dengan penyertaan terbesar dalam sejarah penglibatan KKDW di WorldSkills, kontinjen kali ini bukan sahaja membawa nama institusi, tetapi membawa harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat anak tempatan berdiri sebaris dengan bakat terbaik dunia. .

+ - reset