TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zahid tegaskan hubungan dengan Nga Kor Ming kekal baik, nasihat kenyataan politik perlu berpada

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 13 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan politik perlu dibuat secara berpada, khususnya dalam kalangan pemimpin yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mendakwa akan meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Johor, Ahmad Zahid berkata perkara sedemikian lebih sesuai jika dibuat ketika berada dalam blok pembangkang.

Menurut beliau, situasi ketika ini berbeza kerana kedua-dua pihak merupakan sebahagian daripada kerajaan yang sama dan perlu bergerak sebagai satu pasukan.

“Kalau kita dalam pembangkang, mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya. Tetapi kalau kita bersama dengan kerajaan, tidak perlulah. 

"Takpelah saya akan jumpa dia, dia kawan saya," tambahnya.

Ahmad Zahid berkata hubungan beliau dengan Nga Kor Ming di peringkat Persekutuan berada dalam keadaan baik serta profesional.

Beliau menjelaskan Kerajaan Perpaduan kini berada dalam keadaan kondusif dan semua menteri perlu memainkan peranan masing-masing demi memastikan kestabilan pentadbiran.

“Realitinya kita berada dalam keadaan yang sangat-sangat baik. Kita bergerak sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kita telah berjanji bahawa kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini sehingga akhir penggal, Inilah yang kami praktiskan," katanya.

Beliau turut menegaskan persepsi masyarakat terhadap hubungan antara parti mungkin berbeza, namun amalan sebenar dalam kerajaan menunjukkan kerjasama yang baik antara semua pihak.

+ - reset