TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Jasad mereka Allah jaga’ — Bomba dedah keadaan tiga mangsa maut tersepit dalam Proton S70 di LPT dalam keadaan baik

By
|
Kongsi
image

 

TEMERLOH 2 Sept - “Alhamdulillah, jasad mereka Allah jaga, tidak seperti digilis kenderaan.” Itu keadaan tiga mangsa maut yang tersepit dalam Proton S70 selepas dihimpit treler dan bas ekspres dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di LPT1, dekat Lanchang, Isnin malam.

Dalam kejadian itu, sedan putih itu terperangkap di antara sebuah treler membawa muatan simen dan bas ekspres sehingga kelihatan seperti ‘sandwich’ selepas kemalangan kira-kira pukul 10.55 malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, kedudukan Proton S70 yang dihimpit dua kenderaan berat itu menyukarkan pasukan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

“Kereta berkenaan berada di antara treler dan bas, menyebabkan kita terpaksa menarik bas tersebut ke hadapan barulah proses mengeluarkan mangsa tersepit daripada kereta.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit, bagaimanapun alhamdulillah ja­sad mereka Allah jaga, tidak seperti digilis kenderaan,” katanya semalam.

Beliau berkata, dua mangsa iaitu pasangan suami isteri ditemui tersepit di bahagian hadapan Proton S70, manakala seorang kanak-kanak pula tersepit di antara tempat duduk bahagian depan dan belakang.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 11.24 malam dan operasi menyelamat berakhir pada pukul 2.50 pagi selepas semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.

Menurut Mohd. Salahuddin, operasi itu disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Temerloh dan Karak serta Zon 2 JBPM Pahang.

Ujarnya, pasukan penyelamat terlebih dahulu memberi tumpuan kepada mangsa yang masih hidup sebelum meneruskan kerja mengeluarkan tiga mangsa yang telah meninggal dunia.

+ - reset