Berita Berita
RCI TH: 'Apa peranan beliau ketika itu? Jangan siasat menteri sahaja' - AMK desak SPRM siasat juga Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR 2 Sept - Siasatan berhubung urusan Tabung Haji (TH) tidak wajar terhenti dengan penahanan seorang bekas menteri, sebaliknya turut perlu merangkumi semua pihak yang mempunyai kaitan, termasuk Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, siasatan itu perlu dilakukan secara menyeluruh sekiranya pihak berkuasa benar-benar mahu mencari kebenaran berhubung segala urusan dan keputusan yang berlaku ketika itu.
Katanya, Asyraf Wajdi yang ketika itu merupakan timbalan menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia pernah hadir dalam majlis memeterai perjanjian pajakan hotel antara TH dan Al-Rawda pada 2017.
“Saya bukan mengatakan beliau bersalah. Tetapi kalau kita benar-benar mahu mencari kebenaran, semua nama yang terlibat harus di panggil ke meja siasatan kerana pada tahun 2017, Asyraf Wajdi hadir dalam majlis memeterai perjanjian pajakan hotel antara Tabung Haji dan Al-Rawda.
“Beliau hadir atas kapasiti sebagai timbalan menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia, mewakili Menteri ketika itu. Jadi saya ingin bertanya, apa yang beliau tahu tentang urusan tersebut? Apa peranan beliau ketika itu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Rabu bagi menghadapi permohonan reman SPRM susulan siasatan berkaitan laporan RCI TH.
Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan individu tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi turut mempersoalkan sama ada Asyraf Wajdi pernah terlibat dalam mana-mana proses atau keputusan berkaitan serta apakah maklumat atau dokumen yang boleh beliau bantu jelaskan kepada pihak penyiasat.
Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku.
“Pihak berkuasa boleh panggil, soal dan ambil keterangan. Asyraf Wajdi perlu ambil peluang ini untuk membersihkan nama baik.
“Jika Asyraf Wajdi tidak disiasat maka rakyat terus tertanya-tanya dan membuat kesimpulan sendiri. Apa yang saya tidak mahu ialah rakyat melihat orang yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan disiasat manakala yang berada di dalam pentadbiran dibiar dan didiamkan begitu sahaja seolah-olah tidak perlu disentuh,” tegasnya.
Pada masa sama, Dzul Hilmi berkata, undang-undang mesti sama untuk semua pihak.
"Jangan kerana seseorang itu ada kedudukan politik, maka namanya tidak boleh disebut dan jangan pula kerana seseorang itu tidak berada dalam kelompok tertentu, maka dia lebih mudah dijadikan sasaran," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak SPRM dan PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional tanpa pilih kasih serta tidak melindungi sesiapa.
“Kalau tidak bersalah, lepaskan dan bersihkan nama. Tetapi jangan biarkan persoalan rakyat terus tergantung. Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada institusi yang mereka amanahkan dengan wang dan harapan mereka.
“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah. Saya tidak meminta sesiapa dihukum tanpa bukti. Saya cuma mahu pihak berkuasa siasat semua yang berkaitan.
“Jangan ada double standard dan jangan ada sesiapa yang dikecualikan hanya kerana mempunyai kedudukan politik. Kalau benar kita mahu mencari kebenaran, jangan takut untuk buka semua pintu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, UMNO perlu berhenti mengadakan ‘sandiwara’ mengenai RCI TH dan menggesa Asyraf Wajdi mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan dengan segera.
Ujar Muhammad Iman Haziq, sebagai parti dalam kerajaan, UMNO sepatutnya menghormati dapatan RCI berkenaan dan membantu mencari siapa dalang yang menyakau institusi tersebut, daripada cuba mengelak daripada tanggungjawab.
Berita berkaitan
September 2, 2026, 5:06 pm
Orang ramai digesa tidak emosi berhubung isu kehadiran Mahathir pada Hari Kebangsaan
September 2, 2026, 4:59 pm
Malaysia bawa 77 rakyat di Tibet dan Nepal ke Kathmandu untuk proses repatriasi
September 2, 2026, 4:54 pm
Negeri Sembilan laksana pengecualian bayaran lesen penjaja bermula 2027
September 2, 2026, 4:44 pm
Kerajaan tidak kompromi karya sentuh sensitiviti agama dan kaum
September 2, 2026, 4:38 pm
SPRM tegaskan siasatan kes rasuah membabitkan Saravanan bersifat sulit
September 2, 2026, 4:32 pm
Seramai 1,476 pelarian Myanmar sedia pulang secara sukarela selepas tandatangan dokumen
September 2, 2026, 2:36 pm
Jamil Khir direman lima hari bantu siasatan RCI Tabung Haji
September 2, 2026, 2:08 pm
