Berita Berita
Jamil Khir direman lima hari bantu siasatan RCI Tabung Haji
PUTRAJAYA 2 Sept - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman terhadap Jamil Khir pada prosiding di Kompleks Mahkamah Putrajaya, hari ini, sehingga Ahad.
Peguam yang mewakili beliau, Hamidi Mohd Noh mengesahkan Jamil Khir disiasat mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009, iaitu peruntukan sama seperti dinyatakan agensi antirasuah itu semalam.
"Dia ditahan untuk bagi kerjasama dan dia sentiasa bagi kerjasama.
"Dari (siasatan) tahun 2018 sampai sekarang Datuk Seri Jamil memang sentiasa bagi kerjasama, tak pernah tak bagi kerjasama," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.
Ketika ditanya sama ada Jamil Khir menyampaikan sebarang pesanan selepas prosiding reman itu, Hamidi menjawab: “Tiada.”
Terdahulu, Jamil Khir tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira jam 10.25 pagi dengan memakai pakaian lokap jingga SPRM.
Semalam, SPRM memaklumkan penahanan seorang bekas menteri bagi membantu siasatan susulan laporan RCI mengenai Tabung Haji.
Penahanan itu menjadikan Jamil Khir sebagai bekas pegawai paling kanan yang ditahan setakat ini dalam siasatan yang semakin meluas berkaitan dakwaan penyelewengan membabitkan dana jemaah haji.
Menurut hantaran SPRM di media sosial, bekas menteri berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang berhubung kes membabitkan penyewaan hotel di Arab Saudi.
RCI sebelum ini meneliti perjanjian pajakan jangka panjang Tabung Haji bagi empat hotel di Makkah dan Madinah antara 2015 hingga 2017, membabitkan bayaran pendahuluan kira-kira 1.43 bilion riyal Saudi.
RCI turut mengetengahkan kelemahan dalam aspek usaha wajar dan kawalan risiko, manakala bayaran sewa kemudiannya tertunggak sehingga mendorong Tabung Haji mengambil tindakan undang-undang di Arab Saudi.
Berita berkaitan
September 2, 2026, 2:08 pm
'Dia nak pergi tengok, biarlah' - Rafizi tegur benda kecil pun mahu politikkan
September 2, 2026, 12:12 pm
Pelancong wanita El Salvador maut akibat langgar lari ketika berjalan kaki dekat hotel di Pasir Puteh
September 2, 2026, 12:07 pm
Hukum solat tersalah waktu di luar negara bergantung jenis kesilapan
September 2, 2026, 12:02 pm
Kerajaan larang penayangan drama 'Madu atau Racun' sentuh sensitiviti
September 2, 2026, 10:29 am
