TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MIG mohon maaf isu ‘Madu atau Racun’, akui babak keterlaluan sentuh sensitiviti agama

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 2 Sept - Syarikat produksi MIG Production House (MIG) tampil memohon maaf susulan kontroversi yang tercetus membabitkan drama Madu atau Racun yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

MIG menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang sedang tular termasuk beberapa babak dalam drama berkenaan yang dilihat agak keterlaluan untuk tontonan umum.

“Kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun.

“Kami mengambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan telah menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk ditonton secara umum,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Bagaimanapun, MIG menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh atau memperlekehkan mana-mana pihak menerusi karya berkenaan, selain menafikan kontroversi itu dicetuskan dengan sengaja.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami tiada niat sama sekali untuk menyentuh, memperlekehkan atau menimbulkan sebarang kontroversi dengan sengaja.

“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami yang akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran yang besar,” katanya.

Kontroversi Madu atau Racun tercetus susulan penayangan beberapa babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat, termasuk elemen percintaan kaum sejenis yang menjadi perhatian di media sosial.

Perkembangan itu berlaku ketika pihak berkuasa dan industri sedang meneliti kandungan drama berkenaan.

Pertemuan membabitkan FINAS, wakil MIG, iQIYI, CMCF, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Televisyen Malaysia (PTVM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut diadakan bagi membincangkan isu terbabit.

+ - reset