TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘KKDW tak boleh belanja sesuka hati’ - KKDW nafi belanja lebih peruntukan, bayaran projek era pandemik jadi punca

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan membelanjakan wang melebihi peruntukan yang diluluskan, sebaliknya menjelaskan bayaran dibuat bagi memenuhi komitmen serta tunggakan projek yang terkesan ketika pandemik COVID-19.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil berkata, tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan.

"Saya tidak pasti bagaimana Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Johan Mahmood Merican) boleh menyatakan bahawa KKDW sudah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

"Tatacara Kewangan Kerajaan tidak sesekali membenarkan dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang sudah diluluskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berkenaan sudah disalurkan.

Johan Mahmood dilaporkan berkata, sejak beberapa tahun lalu, KKDW membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek jalan luar bandar.

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada MOF dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan menerusi Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).

"Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

"Sekiranya benar berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan," katanya.

Menurutnya, kenyataan MOF juga tidak menyertakan data bagi 2019, 2020 dan 2021 yang penting untuk melihat keseluruhan kedudukan antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.

"Dalam tempoh itu, negara berdepan pandemik Covid-19. Walaupun pelaksanaan sebahagian projek terjejas, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu sudah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud dari 2019 hingga 2021.

"Apabila projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

"Apabila kerja sudah dilaksanakan kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak," katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.

+ - reset