TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan kerana marah, kita padam terus segala jasa dan kerja yang dia dah buat' - Raja Sarah Petra buka mulut selepas Shamellya diganti

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Sept – Raja Sarah Petra tampil mempertahankan bekas Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi dengan mengingatkan agar segala jasa, pengorbanan dan sumbangannya kepada sayap parti itu tidak dilupakan hanya kerana wujud perbezaan pandangan.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata, seseorang boleh berasa marah, tidak bersetuju atau berpandangan sudah tiba masanya berlaku perubahan, namun keadaan itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan segala usaha yang pernah dicurahkan individu berkenaan.

“Anda boleh marah kepada seseorang. Anda boleh tidak bersetuju dengannya. Anda juga boleh memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk dia berundur.

“Tetapi jangan kerana marah, kita padam terus segala jasa dan kerja yang dia dah buat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Kenyataan itu dibuat susulan perubahan dalam barisan kepimpinan Puteri UMNO Malaysia yang menyaksikan Nooryana Najwa Najib dilantik sebagai Ketua Penerangan baharu bagi menggantikan Shamellya.

Menurut Raja Sarah Petra, perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila individu daripada parti sendiri mudah menjadi sasaran serangan secara terbuka, khususnya di media sosial.

Katanya, sebarang perbezaan atau pertukaran dalam organisasi sepatutnya dikendalikan secara bermaruah tanpa perlu menjatuhkan individu yang pernah memberikan khidmat kepada parti.

“Daripada perkara ini dikendalikan dengan penuh bermaruah, dia diserang di media sosial oleh orang daripada partinya sendiri. Dipanggil penipu. Dipersoalkan secara terbuka. Integritinya seolah-olah dibicarakan untuk disaksikan semua orang.

“Selepas bertahun-tahun, segala kerja, pengorbanan dan titik peluh yang dia berikan kepada Puteri, adakah benar begini cara kita memilih untuk melayan seseorang ketika dia meninggalkan jawatan?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendapat dan tindakan memalukan seseorang secara terbuka adalah dua perkara berbeza.

“Tidak bersetuju adalah satu perkara.

“Memalukan seseorang secara terbuka adalah perkara lain,” katanya.

Raja Sarah Petra turut mempersoalkan semangat persaudaraan yang sering ditekankan dalam Puteri UMNO sekiranya ia hanya diamalkan ketika semua pihak mempunyai pendirian sama.

“Apa yang membuatkan keadaan ini lebih tidak selesa ialah apabila kita banyak bercakap mengenai ‘persaudaraan’, tetapi apabila salah seorang daripada kita berada dalam keadaan sukar, naluri pertama adalah untuk menyerangnya secara terbuka.

“Persaudaraan jenis apa yang hanya wujud apabila semua orang bersetuju?” katanya.

Beliau mengakui apa yang berlaku kepada Shamellya turut menyentuh dirinya kerana pernah melalui pengalaman hampir sama di peringkat bahagian.

“Apa yang berlaku kepada Shamellya, saya sendiri pernah rasainya di bahagian saya. Ceritanya berbeza, tetapi kepahitannya sama.

“Anda berikan masa, tenaga dan kesetiaan, kemudian tiba-tiba terasa seolah-olah segala sumbangan yang pernah diberikan langsung tidak bermakna.

“Sedih nak cakap, tetapi kadang-kadang inilah sebenarnya yang UMNO lakukan kepada orang sendiri,” katanya.

Raja Sarah Petra berkata, UMNO sering bercakap mengenai soal kesetiaan, namun perkara itu tidak boleh hanya dituntut daripada ahli di peringkat bawahan.

Sebaliknya, katanya, kepimpinan juga mempunyai tanggungjawab untuk menghargai individu yang pernah mencurahkan khidmat kepada parti.

“Kita banyak bercakap mengenai kesetiaan. Tetapi kesetiaan tidak boleh hanya dituntut daripada orang di bawah. Kepimpinan juga perlu tahu bagaimana menghargai mereka yang pernah berkhidmat.

“Anda boleh menggugurkan seseorang daripada jawatan. Itu politik.

“Tetapi anda tidak perlu menghancurkan maruah mereka ketika mereka meninggalkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, tidak semua tindakan Shamellya perlu dipertahankan atau dipersetujui, namun perbezaan yang berlaku tidak seharusnya menghapuskan segala sumbangan terdahulu.

“Anda tidak perlu mempertahankan segala yang pernah dilakukannya.

“Tetapi jangan kerana marah, kita lupa segala yang dia pernah buat.

“Kita semua berhak mendapat layanan yang lebih baik,” katanya.

+ - reset