TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar akan jemput Presiden Myanmar ke Malaysia, lihat sendiri masalah Rohingya, bincang penghantaran pulang pelarian

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang menjemput pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia bagi mengadakan perbincangan secara langsung dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu pelarian dari negara itu.

Anwar berkata, hasrat berkenaan sudah dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu.

“Saya akan undang Presiden Myanmar melawat Malaysia secara rasmi,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Anwar, langkah itu bertujuan membuka ruang hubungan diplomatik dan rundingan lebih luas bagi mendapatkan persetujuan Myanmar menerima semula rakyatnya yang kini berada di Malaysia.

“Kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar. Tapi Myanmar mesti terima,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Myanmar tidak mampu menerima 200,000 orang secara serentak, proses penghantaran pulang boleh dilakukan secara berperingkat.

“Kalau tak boleh 200,000 sekaligus, ambil berperingkat dan kita akan bantu selesaikan,” katanya.

Menurut Anwar, penyelesaian perlu dicari memandangkan mereka yang berada di Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, manakala masyarakat tempatan pula berdepan pelbagai masalah sehingga menimbulkan keresahan.

Katanya, pendekatan diplomasi perlu digunakan kerana kecaman semata-mata tidak akan menyelesaikan persoalan penghantaran pulang.

Malaysia sebelum ini memperoleh persetujuan pihak Myanmar untuk menerima 5,000 orang sebagai langkah awal. Persetujuan berkenaan turut diumumkan kerajaan pada Julai lalu.

“Dia baru terima 5,000 orang,” katanya.

Anwar berkata, langkah itu turut membolehkan Malaysia mengurangkan beban keselamatan dan ekonomi yang timbul daripada penempatan mereka di depot.

“Ini cara saya penyelesaiannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan proses penghantaran pulang perlu mengambil kira aspek keselamatan individu yang terlibat.

“Boleh tak kita jamin keselamatan dia? Boleh tak kawasan itu kawasan selamat?” soalnya.

Kerajaan sebelum ini turut menegaskan Malaysia tidak akan menghantar pulang pelarian sekiranya mereka berdepan risiko dizalimi atau nyawa terancam selepas kembali ke Myanmar.

Malaysia sebelum ini mengumumkan fasa pertama penghantaran pulang membabitkan kira-kira 1,500 individu pada September menerusi proses yang dinyatakan kerajaan sebagai penghantaran secara sukarela.

+ - reset