Berita Berita
'UMNO sudah tiada nilai dalam Kerjaan Pulau Pinang’ – Guan Eng persoal PH masih pertahan UMNO
GEORGE TOWN 16 Sept – Penasihat DAP, Lim Guan Eng terus mempersoalkan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Pulau Pinang dengan mendakwa parti itu tidak lagi mempunyai nilai untuk dikekalkan sekiranya pada masa sama semakin aktif bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan PAS.
Beliau mendakwa keadaan itu boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, khususnya jika UMNO terus diberikan tempat dalam pentadbiran negeri.
Guan Eng berkata, tindakan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang memilih untuk mengkritiknya berbanding menyelar serangan UMNO terhadap PH memberi gambaran seolah-olah kepimpinan negeri bimbang sekiranya parti itu meninggalkan kerajaan.
Menurutnya, kenyataan beliau sebelum ini bukan ditujukan kepada Kon Yeow, sebaliknya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak mencabar PH Pulau Pinang untuk menyingkirkan UMNO daripada kerajaan negeri seperti cabarannya di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Daripada membalas serangan UMNO kerana bekerjasama dengan pembangkang PN, Kon Yeow sebaliknya memilih untuk mengkritik saya.
“Pemimpin PH Pulau Pinang tidak seharusnya takut untuk menyinggung UMNO yang melakukan serangan memecahbelahkan terhadap minoriti agama bukan Islam serta tidak inklusif terhadap bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Kon Yeow menyifatkan gesaan Guan Eng supaya Kerajaan Pulau Pinang menutup pintu kepada UMNO sebagai pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi DAP.
Kon Yeow berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan PH perlu diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Beliau turut mengambil maklum pandangan Guan Eng, namun berkata semua pihak perlu menunggu keputusan kepimpinan tertinggi termasuk Majlis Presiden PH.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, persepsi awam juga memainkan peranan penting dalam politik dan kepimpinan PH Pulau Pinang perlu menyedari implikasi mengekalkan UMNO dalam pentadbiran negeri jika parti itu pada masa sama bekerjasama dengan PN dan PAS.
Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan PH serta kerajaan negeri.
“Harga untuk mengekalkan UMNO ialah persepsi negatif terhadap kepimpinan PH Pulau Pinang dan kerajaan negeri kerana gagal menyedari bahawa ‘musuh terbesar ialah musuh dari dalam’,” katanya.
Guan Eng turut mendakwa UMNO sebelum ini mengambil kredit atas kekalahan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenaah pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurutnya, tiada salah bagi pemimpin DAP untuk menjawab dakwaan yang disifatkannya tidak berasas terhadap PH atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kon Yeow mungkin tidak mahu pemimpin DAP menyuarakan pandangan mereka tetapi tiada arahan larangan bersuara daripada Anthony,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, keputusan sama ada UMNO perlu kekal atau sebaliknya dalam Kerajaan Pulau Pinang akhirnya terletak kepada kepimpinan tertinggi DAP dan PH.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pemimpin PH negeri perlu mempunyai pendirian mengenai perkara itu sebelum menyampaikannya kepada kepimpinan tertinggi.
“Adakah PH atau Kon Yeow tidak mempunyai pendirian tegas selepas segala serangan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini?” soalnya.
Guan Eng turut mendakwa UMNO masih mengekalkan jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dua pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri kerana menyedari pemergian parti itu tidak akan memberi kesan politik besar kepada pentadbiran PH.
Katanya, Kerajaan Pulau Pinang masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam DUN walaupun tanpa dua wakil rakyat UMNO.
“UMNO berpaut pada jawatan dalam kerajaan negeri kerana mengetahui mereka tidak akan memberi kesan politik sekiranya meninggalkan kerajaan.
“Tanpa dua wakil rakyat UMNO, kerajaan PH Pulau Pinang akan terus menikmati majoriti dua pertiga dalam DUN,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng mencabar Ahmad Zahid supaya berani mencadangkan UMNO disingkirkan daripada Kerajaan Pulau Pinang selepas Presiden UMNO itu mencabar PH menyingkirkan parti berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan.
Cabaran Ahmad Zahid itu dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir beberapa hari lalu.
Berita berkaitan
September 16, 2026, 2:38 pm
Polis cedera ketika cuba tahan suspek curi kabel di Kluang
September 16, 2026, 2:31 pm
Saravanan peruntuk lampu solar LED tangani lokasi panas kemalangan di Tapah
September 16, 2026, 2:25 pm
Ahmad Zahid seru rakyat kukuh perpaduan dan pelihara keharmonian sempena Hari Malaysia
September 16, 2026, 10:20 am
AADK dedah penagih wanita meningkat, belia paling ramai
September 15, 2026, 7:31 pm
Imigresen hantar pulang 150 warga Indonesia ke Batam
September 15, 2026, 7:12 pm
